sukan

Man-Tee sasar podium Terbuka Malaysia

Pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong menyimpan hasrat tinggi untuk memulakan musim 2026 dengan keputusan memberangsangkan apabila menyasarkan kedudukan podium pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil minggu depan.

Bergandingan bersama Tee Kai Wun, Wei Chong percaya pencapaian ke pentas final adalah sasaran realistik buat mereka dalam saingan Jelajah Dunia Super 1000 itu, meskipun mengakui tahap permainan mereka dilihat masih memerlukan penambahbaikan.

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, faktor keletihan dan kekangan masa latihan selepas pulang dari China turut memberi kesan terhadap persiapan mereka menjelang kejohanan berprestij berkenaan.

“Tahun ini kami pun dapat masuk ke separuh akhir, jadi saya harap pada saingan Terbuka Malaysia 2026 kami boleh mendapatkan pingat,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Sebagai rekod, gandingan nombor lima dunia itu melalui musim 2025 dengan prestasi tidak menentu walaupun berjaya merangkul dua kejuaraan, masing-masing di Indonesia Masters dan Malaysia Masters.

Mengulas keseluruhan kempen musim ini, Wei Chong mengakui prestasi mereka menunjukkan peningkatan berbanding musim terdahulu, namun masih belum cukup konsisten untuk mencabar beregu elit dunia.

“Secara keseluruhan, prestasi tahun ini lebih baik berbanding sebelum ini, tetapi kami masih kerap tewas di pusingan awal dan kepada pasangan ranking lebih tinggi,” katanya.

Wei Chong-Kai Wun dijadual membuka tirai saingan Terbuka Malaysia bermula 6 Januari ini bertemu gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.