sukan

Man United terkejut, puji kualiti padang SNBJ

Kuala Lumpur: Keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mendapat pujian tinggi daripada pengurusan Stadium Old Trafford selepas perlawanan persahabatan Piala Cabaran Manchester United menentang Asean All Stars, kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil, berkata pihaknya menerima maklum balas positif daripada ‘grounds keeper’ Old Trafford yang terkejut dengan kualiti rumput dan penjagaan padang di Bukit Jalil.

Malah, beliau berkata, wakil Manchester United juga turut terkejut dan tidak menyangka Malaysia mempunyai stadium yang cantik dan serba lengkap sekali gus tidak berhadapan masalah untuk menganjurkan perlawanan besar seperti Manchester United menentang Asean All Stars.

“Alhamdulillah, semasa perlawanan Manchester United, padang berada dalam keadaan sangat baik. Malah, ‘grounds keeper’ dari Old Trafford sendiri hadir dan memuji keadaan padang kami,” katanya, ketika ditemui Arena Metro.

Iliyas turut mengesahkan kemungkinan kerjasama antara pengurusan Stadium Bukit Jalil dan Old Trafford dalam menjaga dan mengekalkan kualiti padang di masa hadapan.

“Kami mungkin akan bekerjasama dengan pengurusan stadium Old Trafford kerana mereka juga menghadapi masalah yang sama seperti kami, terutama di bahagian penjuru padang. Mungkin mereka akan mendapat sentuhan daripada pasukan kami,” katanya.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional bukan sahaja menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan, malah turut membuka peluang perkongsian ilmu dalam penjagaan stadium di peringkat antarabangsa.

Pujian daripada pihak Manchester United dan Old Trafford itu menjadi satu pengiktirafan besar kepada usaha PSM dalam memastikan kemudahan sukan di Malaysia sentiasa berada pada tahap terbaik.

Sebelum itu, skuad Asean All Stars mencipta kejutan besar dengan menewaskan Manchester United 1-0 dalam aksi Piala Cabaran, malam kelmarin.

sumber:- HM

Dengan barisan pemain skuad kedua dari rantau Asean dan Australia, pasukan itu membuktikan mereka bukan calang-calang lawan apabila Maung Maung Lwin muncul wira dengan jaringan tunggal pada minit ke-71.