Perlawanan akhir Piala Dunia ISTAF yang berlangsung baru-baru ini sepatutnya menjadi simbol perpaduan dan semangat kesukanan, namun bertukar panas apabila kem Thailand didakwa mempertikaikan perjalanan perlawanan sehingga pemain mereka diarahkan untuk tidak meneruskan aksi. Insiden ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat dan pemerhati sukan, sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang profesionalisme sebuah kuasa besar sepak takraw dunia.
Persoalan yang timbul cukup mudah: adakah Thailand benar-benar memahami peraturan, atau mereka hanya bersedia menerima undang-undang apabila keputusan memihak kepada mereka? Dalam mana-mana kejohanan antarabangsa, keputusan pengadil seharusnya dihormati, walaupun kadangkala ia tidak memuaskan hati sesetengah pihak. Namun, tindakan drastik yang diambil oleh kem Thailand jelas menimbulkan tanda tanya tentang semangat kesukanan yang sepatutnya dijunjung tinggi.
Lebih mengejutkan, terdapat pegawai Thailand yang dilaporkan mengarahkan pemain untuk meninggalkan gelanggang. Sepatutnya, pegawai bertindak sebagai perantara untuk meredakan keadaan dan memulihkan suasana, tetapi sebaliknya mereka menjadi pencetus kepada kekecohan. Tindakan ini bukan sahaja mencemarkan imej pasukan, malah turut menjejaskan reputasi Thailand sebagai salah satu kuasa besar dalam dunia sepak takraw.
Di pihak Malaysia, pujian harus diberikan kerana skuad negara kekal tenang sepanjang insiden berlaku. Pemain Malaysia tidak mencetuskan kekecohan, tidak mencampuri urusan pengadil, dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak teknikal serta Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) untuk menentukan tindakan selanjutnya. Sikap profesional ini memperlihatkan kematangan skuad negara dalam mengendalikan tekanan di pentas dunia.
Terbaru, Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) telah mengemukakan surat bantahan rasmi kepada ISTAF. Langkah ini dilihat tepat dan wajar demi mempertahankan maruah kejohanan dunia serta memastikan insiden sebegini tidak berulang pada masa akan datang. Final Piala Dunia bukanlah pentas drama atau emosi, tetapi gelanggang untuk menunjukkan disiplin, semangat juang, dan rasa hormat terhadap sukan.
Perlawanan akhir itu sepatutnya menjadi detik bersejarah yang mengangkat martabat sepak takraw, namun kontroversi yang berlaku telah mencemarkan suasana. Malaysia tetap dinobatkan sebagai juara dunia, tetapi kemenangan itu sedikit sebanyak dibayangi oleh tindakan drastik lawan. Walaupun begitu, kejayaan skuad negara tetap bermakna kerana mereka berjaya menamatkan penantian panjang dan membuktikan kemampuan mengharungi tekanan aksi final bertaraf dunia.
Peribahasa Melayu ada menyebut: “Menang jadi abu, kalah jadi arang.” Jika ego mengatasi semangat kesukanan, akhirnya imej sukan itu sendiri yang akan tercalar di mata dunia. Apa yang berlaku di Stadium Titiwangsa akan terus dikenang bukan sahaja kerana kejayaan Malaysia merangkul gelaran dunia, tetapi juga kerana kontroversi yang mencetuskan perdebatan tentang integriti dan profesionalisme dalam sukan.
Kini, tumpuan beralih kepada tindakan lanjut yang bakal diambil oleh ISTAF terhadap kem Thailand. Sama ada mereka akan dikenakan hukuman atau sekadar diberi amaran, insiden ini pasti menjadi pengajaran besar buat semua pihak. Malaysia pula boleh berbangga kerana bukan sahaja muncul juara, tetapi juga kerana mengekalkan disiplin dan semangat kesukanan yang sebenar.