LONDON: Manchester United kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Everton 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Old Trafford itu, United mendahului dua gol pada babak pertama menerusi jaringan sepakan penalti daripada Bruno Fernandes dan Marcus Rashford pada minit ke-12 dan 36.
Everton cuba bangkit terutama pada babak kedua, namun gagal menjelmakan jaringan sekali gus memberikan tiga mata berharga buat skuad Red Devils.
Kemenangan itu menyaksikan United kini dibezakan tiga mata daripada pasukan tangga kelima, Tottenham Hotspur dan lapan mata di belakang Aston Villa yang menghuni kedudukan keempat.
Red Devils mengumpul 47 mata hasil daripada 15 kemenangan, dua seri dan tewas 11 kali dalam 28 perlawanan untuk menghuni tangga keenam.
Skuad kendalian Erik ten Hag sebelum ini tewas dalam dua aksi terakhir mereka dalam liga apabila tunduk 1-3 kepada Manchester City dan 1-2 di tangan Fulham. – AGENSI