SEREMBAN: “Terima kasih kepada Hadi Fayyad (Abdul Razak) dan Ifedayo (Olusegun) yang membantu kita capai kemenangan malam ini (malam tadi),” kata ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, P Maniam.
Pengendali itu ternyata lega selepas skuad bimbingannya menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC), 2-1, dalam aksi pusingan 16 pasukan Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Jelas Maniam, meskipun PDRM ketinggalan 0-1, pemain pasukan itu tidak putus asa dan terus berusaha untuk bangkit mendapatkan gol sehingga ke wisel penamat.
“Tahniah kepada semua pemain yang bekerja keras sepanjang tempoh permainan.
Satu perlawanan yang dianggap seimbang dengan Negeri Sembilan memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol terutama pada separuh masa pertama perlawanan.
“Situasi padang basah kerana hujan berlarutan sememangnya menjejaskan sedikit rentak pemain kita dan mengakibatkan banyak kesalahan dilakukan mereka, tapi jelas ia tidak menyebabkan pemain hilang fokus untuk mendapatkan gol.
“Hakikatnya, perlawanan malam ini bukan mudah kerana Negeri Sembilan memberikan persembahan terbaik mereka sehingga kita terpaksa menunggu di penghujung saingan untuk mendapatkan gol,” katanya.
Negeri Sembilan terlebih dulu menjaringkan gol menerusi A Selvan pada minit ke-69, namun kelebihan itu tidak bertahan sehingga ke penghujung perlawanan apabila Hadi Fayyad dan Ifedayo, masing-masing meledak gol pada minit ke-89 dan waktu kecederaan.
sumber:- BH
Maniam yakin PDRM mampu menamatkan pusingan 16 pasukan dengan keputusan positif dan seterusnya berpeluang melangkah ke peringkat suku akhir seperti disasarkan.