KUALA LUMPUR: Selepas melakar prestasi lebih meyakinkan berbanding dua musim lalu, beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong kini membidik sasaran lebih tinggi apabila turun ke pentas Kejohanan Dunia, hujung bulan ini.
Biarpun kedudukan ranking memberi sedikit kelebihan dalam undian, pada masa sama, Kai Wun tetap realistik dengan cabaran menanti termasuk kemungkinan bertemu pasangan pilihan utama seawal suku akhir.
“Sekarang kami sudah berada dalam kelompok lapan terbaik dunia, tapi itu bermakna suku akhir pun dah boleh jumpa pasangan empat pilihan utama.
“Jadi kita tak boleh cakap lebih sebab siapa pun boleh menang kalau dalam 10 kelompok terbaik.
“Tapi memang sasaran kami nak cuba bawa balik pingat dari Kejohanan Dunia,” katanya.
Menurutnya, mereka baru sahaja pulang daripada kejohanan di China dan hanya memulakan latihan semula semalam selepas tempoh pemulihan selama seminggu.
Pasangan itu sebelum ini mara ke suku akhir di dua kejohanan utama iaitu Terbuka China dan Jepun, namun belum berjaya menewaskan pasangan pilihan utama dunia terutama dari China seperti Liang Wei Keng-Wang Chang dengan rekod memihak kepada pasangan lawan itu 5-0.
Ditanya mengenai pasangan masih belum pernah mereka tewaskan itu, Kai Wun berkata, pasangan dari China antara ‘penghalang’ utama namun ia bukan mustahil untuk dikalahkan.
“Pasangan China memang belum pernah menang lagi. Tapi itu bukan bermaksud kami takut atau tak suka lawan mereka.
“Setiap kali bertemu pun, kami tetap fight. Mungkin rezeki belum menyebelahi kami,” katanya.
Kai Wun berkata, mereka perlu lebih bersedia dari segi fizikal terutama kekuatan di penghujung perlawanan apabila menentang beregu yang lebih ‘kuat mengawal permainan’.
Walaupun mereka sudah memenangi dua kejuaraan musim ini iaitu Masters Indonesia dan Masters Malaysia, namun Kai Wun mengakui tiada ada istilah puas.
“Memang tak ada orang yang puas sebenarnya. Kami pun masih nak kejar kejayaan lebih besar.
sumber:- HM
“Selain Kejohanan Dunia, kami letak sasaran nak layak ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir nanti,” katanya.