sukan

Marc Cucurella percaya kunci utama Perancis adalah Mbappe

DONAUESCHINGEN (Jerman): Pertahanan Sepanyol, Marc Cucurella percaya kunci utama untuk menyekat penyerang Perancis, Kylian Mbappe dalam pertembungan separuh akhir Euro 2024 memerlukan pendekatan bersatu bersama rakan sepasukannya.

Sepanyol yang juga juara tiga kali dijadual bertemu Perancis dijadual bertembung di Munich pada Rabu ini selepas menewaskan tuan rumah Jerman pada masa tambahan.

Mbappe yang baharu menyertai Real Madrid nyata bergelut di Euro kali ini selepas patah hidung pada aksi pertama Perancis selain hanya menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti tetapi kekal menjadi senjata utama buat Les Bleus di bahagian serangan.

“Saya fikir bola sepak adalah sukan kolektif dan adalah benar yang sekiranya satu lawan satu, ia akan menjadi sukar tetapi pada penghujungnya, itu semua bergantung kepada kami sendiri,” kata Cucurella.

“Selain daripada kemampuan mengawal bola, kami adalah pasukan yang sangat berusaha gigih, kami memberikan segala-galanya untuk satu sama lain, dan saya rasa itu adalah kunci utamanya.

“Kami harus bersatu, tahu apa yang perlu dilakukan dalam setiap masa dan paling penting kami perlu kurangkan serangan balas mereka yang mungkin juga senjata utama mereka.”

Cucurella, yang mempamerkan prestasi cemerlang bersama Sepanyol sepanjang musim panas ini, membuat kejutan kepada sesetengah peminat selepas musim yang tidak konsisten dengan Chelsea.

sumber:-BH

“Apa yang penting kami meraih kemenangan dan tidak kira siapapun yang bermain, sekiranya pada Ahad nanti kami berada di final,” katanya. – AFP