KUMPULAN penyokong tegar bola sepak negara, Ultras Malaya, tampil menyuarakan pendirian tegas terhadap isu semasa membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), selepas tamat aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi bukan dengan sorakan atau nyanyian seperti kebiasaan, tetapi dengan suara menuntut kejelasan dan tanggungjawab.
Dalam kenyataan rasmi yang dikongsi di media sosial, Ultras Malaya menegaskan tindakan mereka bukan bermotifkan serangan, sebaliknya lahir daripada semangat mempertahankan maruah bola sepak negara dan kedaulatan tanah air.
“Kami tidak menghentam sesiapa secara membabi buta. Kami bersuara kerana maruah bola sepak negara wajar dipertahankan dengan patriotisme, bukan ketaatan membuta tuli,” tegas kenyataan itu.
Menurut mereka, tuntutan utama hanya satu agar semua pihak berkaitan tampil memberi penjelasan terbuka terhadap kemelut yang melanda, bukan sahaja melibatkan prestasi bola sepak tempatan, tetapi juga mencabar prinsip kedaulatan Malaysia di pentas antarabangsa.
Ultras Malaya turut mengingatkan bahawa maruah tidak dapat dipertahankan dengan berdiam diri, sebaliknya memerlukan integriti, ketelusan dan keberanian menegakkan kebenaran.
“Maruah sebenar tidak dipertahankan dengan diam. Ia hanya boleh ditegakkan dengan integriti, bukan dengan menutup kelemahan, menyembunyikan kebenaran atau menyapu persoalan rakyat ke bawah karpet. Rakyat dan penyokong berhak tahu,” katanya lagi.
Gerakan yang terkenal dengan semangat #UntilTheLastRebel itu menegaskan, perjuangan mereka tidak bersifat perpecahan, sebaliknya satu manifestasi cinta terhadap bola sepak Malaysia yang perlu dibina atas kejujuran dan tanggungjawab bersama.