KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) masih berada pada landasan terbaik untuk menjadi pencabar utama dalam baki saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024/25.
Perkara itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas yang menegaskan skuad itu masih berpeluang cerah untuk mara lebih jauh lagi dalam saingan Liga M.
Bagaimanapun katanya, skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu perlu memperagakan aksi lebih bertenaga dan konsisten serta mengelak daripada tewas.
Terdahulu skuad Penyu itu ‘kehilangan’ tiga import iaitu pemain pertahanan, Mathew Steenvoorden dan tengah, Marin Pilj yang minta dilepaskan bukan dalam tempoh jendela kedua perpindahan pemain.
Manakala penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut masih lagi belum diturunkan pada musim ini selepas mengalami kecederaan tendon achilles pada kaki kirinya ketika menjalani latihan pramusim yang menyaksikan dia perlu berehat panjang.
“Pasukan kita masih berada pada landasan terbaik untuk mengintai peluang sekurang-kurangnya layak ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia pada musim ini.
“Selain itu dalam saingan Liga Super, kita masih lagi berpeluang untuk menamatkan saingan di kedudukan lebih baik, kita sasar sekurang-kurangnya mahu menghuni di tangga ketiga liga.
sumber:-BH
“Dalam saingan Piala Shopee, pasukan kita juga masih berpeluang mara ke pusingan seterusnya, keyakinan ini berdasarkan dengan senarai pemain selepas berbincang dengan barisan kejurulatihan biarpun tanpa dua lagi pemain import,” ujarnya.