sukan

Masters China adalah ujian pertama Tang Jie-Su Yin

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Cheng Su Yin bakal mendapat peluang pertama menguji keserasian apabila digandingkan pada Masters China sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya bulan depan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, percubaan itu penting untuk menilai kemampuan mereka sebelum barisan kejurulatihan menentukan hala tuju gandingan berkenaan.

Menurutnya, Su Yin dipilih berdasarkan pengalaman yang dimilikinya selepas pernah mencapai beberapa keputusan positif bersama pasangan terdahulu.

“Agak sayang sebenarnya kerana mereka hanya dapat dicuba dalam satu kejohanan sebelum Sukan Asia. Sepatutnya kita boleh cuba ketika di Terbuka Jepun atau kejohanan lain sebelum ini.

“Tetapi kalau kita cuba masa itu tidak adil kepada Jimmy Wong kerana waktu itu dia masih cari mata juga dengan Su Yin.

“Namun, ini peluang kita di Masters China untuk mencuba Su Yin dengan Tang Jie,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, hari ini.

Rexy berkata pengalaman Su Yin menjadi antara pertimbangan utama pihak kejurulatihan dalam memilihnya untuk digandingkan bersama Tang Jie.

Katanya, Su Yin pernah mara ke final bersama Pang Ron pada Master China 2024 dan turut mencapai separuh akhir Terbuka Jepun ketika bergandingan dengan Jimmy Julai lalu.

“Bukan sekadar sampai ke separuh akhir, tetapi turut meraih kemenangan ke atas beregu pilihan. Jadi pengalaman Su Yin membuatkan kami memilihnya,” katanya.