sukan

Masters China : Malaysia masih bertaring di bumi China

Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan keunggulan mereka sebagai beregu lelaki utama negara apabila bangkit penuh dramatik untuk mara ke suku akhir Masters China Super 750, menundukkan pasangan England Ben Lane-Sean Vendy dalam pertarungan sengit di Shenzhen Arena.

Selepas tewas 14-21 di set pertama, juara dunia 2022 itu kembali mempamerkan ketenangan dan ketahanan mental untuk mengikat lawan 21-15, sebelum menutup set penentuan dengan kemenangan mendebarkan 25-23 dalam tempoh sejam 12 minit.

Kemenangan ini bukan sahaja menebus kekecewaan kekalahan di Terbuka Hong Kong minggu lalu, tetapi turut memperkukuh rekod pertemuan mereka kepada 6-3 ke atas gandingan England tersebut.

“Kami tahu mereka akan beri tekanan, tapi kami kekal fokus dan tidak panik. Ini kemenangan penting buat kami,” kata Aaron selepas perlawanan.

Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah pula tidak berdepan masalah besar apabila mencatat kemenangan mudah ke atas pasangan Amerika Syarikat Francesca Corbett-Jennie Gai dengan keputusan 21-11, 21-8 dalam masa hanya 27 minit.

Sebagai pilihan kedua kejohanan, gandingan ini nyata berada di kelas tersendiri, mempamerkan kawalan gelanggang yang kemas dan variasi pukulan yang sukar dibaca lawan. Mereka kini mara ke suku akhir dengan penuh keyakinan dan dijangka menjadi antara pencabar utama untuk gelaran di Shenzhen.

“Kami mahu terus konsisten dan kekal fokus satu perlawanan pada satu masa,” ujar Thinaah.

Nasib berbeza dialami gandingan muda Ong Xin Yee-Carmen Ting yang terpaksa akur kepada kehebatan pasangan Korea Selatan Baek Ha-na-Lee So-hee, apabila tumbang 13-21, 13-21 dalam tempoh 43 minit. Ini merupakan pertemuan pertama mereka dan jelas menunjukkan jurang pengalaman yang perlu ditutup oleh wakil negara.

Turut tersingkir, pilihan kelima Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang dijinakkan wakil Indonesia Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana dalam pertarungan tiga set: 10-21, 23-21, 14-21. Walaupun berjaya mencuri set kedua, mereka gagal mengekalkan momentum dan terpaksa akur kepada keampuhan pasangan Indonesia yang kini mendahului rekod pertemuan.

Dalam acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao memberi tentangan sengit sebelum tunduk kepada pemain nombor empat dunia dari China, Li Shi Feng. Jun Hao berjaya merampas set kedua 21-19, namun gagal mengekang kebangkitan Li yang menamatkan perlawanan 21-11, 19-21, 21-8 dalam masa sejam tujuh minit. Rekod pertemuan kini memihak kepada Shi Feng dengan 7-1.

“Saya cuba beri yang terbaik, tapi dia terlalu konsisten di set ketiga,” kata Jun Hao.

Cabaran negara dalam acara beregu campuran turut berakhir apabila Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin kecundang kepada pilihan utama kejohanan dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping. Biarpun bermula cemerlang dengan kemenangan 21-16 pada set pembukaan, mereka gagal mengekalkan momentum sebelum menyerah 7-21, 10-21 dalam masa 58 minit. Rekod pertemuan kini memihak kepada pasangan China dengan 4-0.