sukan

Masters China : Tang Jie–Ee Wei akui masih banyak kelemahan perlu diperbaiki

BEREGU badminton campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei memulakan kempen Masters China Super 750 dengan langkah meyakinkan apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi–Francesca Corbett pada Rabu.

Dalam aksi di Shenzhen Arena, pasangan pilihan ketiga kejohanan itu tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan straight set 21-12, 21-14 dalam tempoh hanya 31 minit.

Tang Jie mengakui gembira dengan prestasi konsisten yang dipamerkan, namun menegaskan mereka enggan terlalu selesa sebaliknya mengekalkan fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Semua baik-baik sahaja. Saya cuba untuk mencari kembali rentak permainan dan bermula dari sifar semula.

“Kami sudah beberapa kali beraksi di China, jadi kami tahu bagaimana mahu menanganinya,” katanya selepas perlawanan.

Tang Jie–Ee Wei selepas ini akan berdepan beregu Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu yang menewaskan wakil Jepun, Hiroki Midorikawa- Natsu Saito, 23-21, 21-17.

Sementara itu, Ee Wei turut berkongsi pengalaman manis selepas kejayaan muncul juara dunia baru-baru ini apabila berpeluang pulang ke sekolah lamanya, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wen Hua, Batu Berendam, untuk meraikan kejayaan bersama guru dan rakan pelajar.

“Saya rasa ini masa yang istimewa bagi saya dan Tang Jie. Kami bangga dapat membuat sekolah kami bangga dengan kejayaan kami. Mereka gembira dan memberi sokongan yang kuat kepada kami,” ujarnya.

Menurut Ee Wei, sokongan berterusan daripada guru dan pelajar memberi semangat tambahan buat mereka untuk terus berjuang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Semua orang gembira. Saya harap ia dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai untuk berusaha bermain demi Malaysia. Itu juga satu momen membanggakan buat kami,” katanya.