KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi memberi bayangan bakal membuat kemunculan semula dalam kancah bola sepak profesional.
Perancang tengah berusia 33 tahun itu sebelum ini seakan berehat panjang dengan pasukan terakhir yang disertainya adalah Terengganu FC (TFC) pada 2023.
Berdasarkan perkongsian di laman Instagram miliknya, Krasniqi atau lebih dikenali sebagai Matdon memaparkan video dia sedang menjalani latihan sambil menjelaskan akan kembali.
“Matdon akan kembali lagi, hari ini saya mahu kongsikan pengalaman ujian saya di kelab profesional. Kemunculan semula saya, sudah tentu kami akan berjaya. Kemunculan semula akan datang,” katanya dalam video ringkas itu.
Malah, Matdon turut membuat catatan pada video itu: “Saya akan lakukannya, saya akan membuktikan kepada diri dan anda sekali lagi bahawa walaupun pada usia 33 semuanya tidak mustahil”.
Sementara itu, menerusi ruangan komen, Matdon ada meletakkan laman Instagram FC Schaffhausen yang mana seakan memberi bayangan bahawa dia bakal menyertai kelab Switzerland itu.
Kedah menjadi pasukan pertama Matdon beraksi dalam Liga Malaysia dengan dia mengecapi musim cemerlangnya apabila berjaya membantu Sang Kenari memenangi trofi Liga Perdana (2015), Piala Malaysia (2016) dan Piala FA (2017).
Dia juga pernah bersama Melaka United dan pasukan gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT) selain menyertai TFC secara pinjaman.
Sebagai pemain naturalisasi, Matdon pernah beberapa kali mewakili skuad Harimau Malaya, namun prestasinya dan seorang lagi pemain naturalisasi, Guilherme De Paula sering menjadi sasaran kritikan penyokong.