SIBU: Melaka dan Wilayah Persekutuan mara ke perlawanan akhir saingan bola sepak lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas menewaskan lawan masing-masing menerusi penentuan sepakan penalti.
Pemburuan ibu segala pingat yang akan berlangsung pada 3 petang, Sabtu ini, juga menyaksikan satu daripada pasukan bertarung akan memahat sejarah baharu acara bola sepak SUKMA di Stadium Mukah.
Pada aksi separuh akhir di Stadium Mukah hari ini, Melaka di bawah bimbingan Md Nor Md Derus menampilkan persembahan meyakinkan walaupun berdepan juara bertahan Terengganu yang kelihatan ampuh di bahagian pertahanan.
Aksi separuh masa pertama berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 0-0, malah keadaan padang becak akibat hujan lebat turut menyukarkan pemain mengatur gerakan.
Melaka akhirnya memecah kebuntuan apabila penyerang Muhamamd Afiq Norizan menjaringkan gol pada minit ke-72 sebelum skuad muda Sang Penyu menyamakan kedudukan pada minit ke-86 hasil jaringan sendiri kapten Melaka Muhammad Firdaus Mohd Ya’akub.
Kedudukan 1-1 terikat sehingga tamat perlawanan dan diheret ke masa tambahan namun tetap berakhir tanpa sebarang jaringan oleh kedua-dua pasukan walaupun silih berganti melancarkan serangan, memaksa pemenang ditentukan melalui penentuan sepakan penalti.
Penjaga gol Melaka Zahrul Adzmi Marhalim muncul wira Hang Tuah apabila menyelamatkan dua sepakan penalti untuk memastikan Melaka melangkah ke final dengan menewaskan Terengganu 4-3, untuk membuat perhitungan dengan Wilayah Persekutuan.
sumber:-BH
Sementara itu, dalam satu lagi aksi separuh akhir di Padang Mesra Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), Wilayah Persekutuan menewaskan Kelantan 4-3 juga menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedudukan terikat 0-0 selepas 120 minit perlawanan tamat. – BERNAMA