Iskandar Puteri — Dalam suasana bola sepak Malaysia yang semakin kompetitif, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sekali lagi menzahirkan sokongan padu terhadap pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi satu pesanan penuh semangat dan ketegasan di laman Instagram Story baginda.
Mesej tersebut bukan sekadar motivasi buat pemain dan penyokong, tetapi juga satu peringatan tentang nilai kesetiaan, komitmen dan mentaliti juara yang telah menjadi teras kepada kejayaan JDT selama lebih satu dekad.
“Menang atau kalah, bangun atau jatuh. Saya akan berjuang dan berdiri bersama mereka ini sampai penghujung. Tidak akan tinggalkan sesiapa di belakang,” titah TMJ.
Dalam nada yang tegas dan berprinsip, TMJ turut mengingatkan pasukannya agar tidak terpengaruh dengan suara-suara luar yang sering mempertikaikan kejayaan JDT, khususnya daripada pihak yang belum meraih sebarang pencapaian bermakna.
“Kerana itu kita berada di mana kita berada sekarang ini. Orang lain nak jadi gila pasal dia tak menang apa-apa itu dia punya pasal. Yang awak semua bertahun-tahun menang, nak ikut perangai orang yang setiap tahun kalah buat apa? Fikir,” tambah baginda.
Pesanan ini dilihat sebagai dorongan kepada pemain agar terus fokus dan tidak terganggu dengan provokasi luar padang, selain memperkukuh semangat berpasukan yang telah menjadi identiti JDT sejak awal penubuhannya.
JDT kini berada di landasan terbaik untuk mengekalkan dominasi mereka dalam Liga Super Malaysia, selepas mencatatkan tiga kemenangan bersih dalam tiga perlawanan awal musim 2025, mengumpul sembilan mata penuh dan menduduki tangga teratas liga.
Lebih mengagumkan, Harimau Selatan masih mengekalkan rekod 87 perlawanan tanpa kalah dalam saingan liga sejak April 2021, satu pencapaian luar biasa yang belum pernah dicapai oleh mana-mana kelab di rantau ini.
Dengan rekod juara Liga Super sebanyak 11 kali berturut-turut, JDT bukan sahaja menjadi simbol kejayaan bola sepak Johor, tetapi juga penanda aras kepada profesionalisme dan pengurusan kelab yang berwibawa di Asia Tenggara.
Di bawah kepimpinan TMJ, kelab ini telah berkembang dari sebuah pasukan tempatan kepada entiti bola sepak bertaraf antarabangsa, lengkap dengan fasiliti moden, struktur pembangunan akar umbi dan reputasi yang disegani.
Sokongan berterusan TMJ terhadap JDT bukan sekadar dari sudut pentadbiran, tetapi juga dari segi emosi dan semangat. Kehadiran baginda dalam setiap detik penting pasukan — sama ada ketika menang atau kalah — menjadi sumber kekuatan kepada pemain dan staf kejurulatihan.