MELAKA: Kemenangan 2-0 ke atas Melaka FC (MFC) pada aksi Piala FA di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi dianggap booster buat Penang mengharungi aksi timbal balik berdepan lawan sama dan aksi Liga Super musim ini.
Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, kemenangan terbabit amat penting dalam meningkatkan motivasi pemain selepas berusaha gigih pada setiap aksi sebelum ini sehingga akhirnya mencipta kemenangan kali ini.
Katanya, walaupun keputusan terbabit menggembirakan, namun tidak bermakna pasukan sudah mencapai tahap terbaik sebaliknya masih banyak ruang untuk penambahbaikan menjelang aksi bertemu MFC di gelanggang sendiri serta aksi liga.
Menurutnya, perbezaan utama perlawanan kali ini berbanding sebelumnya berikutan anak buahnya berjaya menukarkan beberapa peluang yang dicipta kepada gol sekali gus faktor penentu kejayaan.
“Apapun kami tetap melihat cabaran hebat daripada MFC tambahan dinamik perlawanan di tempat lawan dengan pasukan tuan rumah biasanya memberikan tekanan kuat pada awal permainan.
“Malah pada minit-minit awal, pasukan kami menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan tekanan tetapi secara perlahan-lahan mereka menemui rentak dan keyakinan termasuk mencipta peluang jaringan pada babak pertama,” katanya.
Menurutnya, corak permainan yang lebih baik pada babak kedua membolehkan tekanan berterusan kepada lawan dengan akhirnya jaringan pertama yang dicipta meningkatkan keyakinan sekali gus memaksa pihak lawan membuka pertahanan mereka.
Malah, momentum permainan terus berubah selepas itu dengan pemain memanfaatkan kelemahan lawan bagi menambah jaringan kedua yang amat diperlukan sebagai bekalan di Pulau Mutiara kelak.
Dalam masa sama, beliau juga jelas gembira dengan prestasi Dylan Wenzel-Halls yang meledak dua gol pada aksi terbabit yang dianggap hasil kerjasama secara kolektif semua pemain.
Justeru, beliau mengharapkan penyerang terbabit terus mencipta sentuhan jaringan bersama rakan pasukan sambil pihaknya menganalisis perlawanan bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan untuk diperbaiki pada perlawanan yang akan datang.
Wan Rohaimi berkata, kemenangan terbabit hanya permulaan namun fokus utama masih kepada penyudah yang konsisten selain mahu pemain kekal tenang apabila berhadapan tekanan.
Gol kemenangan Penang FC dicipta pada babak kedua menerusi Hall dengan gerakan hampir sama pada m-48 dan 80 perlawanan untuk selesa bagi mengharungi aksi kedua berdepan lawan sama di Stadium Batu Kawan.