BERLIN: Tonggak pertahanan Portugal, Nuno Mendes teruja untuk berdepan dengan bintang Perancis, Kylian Mbappe pada aksi suku akhir Euro 2024, awal pagi Sabtu ini.
Pemain berusia 22 tahun itu bermain bersama penyerang baharu Real Madrid berkenaan selama dua musim ketika di Paris Saint-Germain (PSG).
Namun, kini dia berdepan tugas untuk merantai pergerakan Mbappe dalam misi membantu Portugal melangkah ke separuh akhir.
Mandes, berkata Mbappe adalah pemain yang berbakat, begitu juga rakan sepasukannya di Portugal, Cristiano Ronaldo dan dia menghormati kedua-dua pemain bintang itu.
“Mereka adalah pemain bertaraf tinggi, pemain cemerlang yang boleh membuat perubahan pada bila-bila masa,” kata Mandes.
“Saya berkongsi bilik persalinan dengan kedua-dua mereka dan ia adalah satu keseronokan untuk bermain dengan Mbappe dan Cristiano.
“Mereka luar biasa, dari satu detik ke satu detik mereka membuat perubahan.”
“Saya tidak rasa dia (Mbappe) akan bermain di bahagian saya tetapi jika ia berlaku saya sudah bersedia.
“Saya berlatih setiap hari untuk detik ini dan kami bersedia untuk berdepan mereka.
“Mereka mempunyai pemain bertaraf tinggi, tetapi kami juga mempunyai pemain hebat.
“Kami perlu melakukan segala yang kami mampu untuk mengatasi kekuatan Perancis dan bermain dengan cara kami.”
Perancis belum menjaringkan gol daripada permainan terbuka di Euro 2024.
Gol mereka hadir menerusi dua gol sendiri dan satu penalti dan meskipun ia mungkin menjadi isu untuk Les Bleus, Mendes berkata ia adalah perkara baik untuk Portugal.
sumber:-BH
“Saya rasa ini baik untuk kami, ia adalah petanda yang baik,” katanya. – AGENSI