Selepas terpaksa berehat panjang susulan kecederaan hamstring, penyokong mula menyatakan kerisauan sama ada pemain sayap sensasi, Arif Aiman Hanapi mampu kembali pada prestasi seperti sebelum ini.
Namun pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu membuktikan sebaliknya apabila memperagakan persembahan yang jelas tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ‘berkarat’ meskipun tidak beraksi selama enam bulan.
-Advertisement-
Tampil sebagai pemain gantian pada final Piala Malaysia berdepan Kuching City FC di TM Stadium Nasional, pemain sayap itu meledak gol kedua untuk membantu Harimau Selatan meraih kemenangan 2-0.
Arif Aiman menutup aksi cemerlang selama 31 minit itu sebagai Pemain Terbaik Perlawanan sekali gus membuktikan reputasinya sebagai antara pemain terbaik dalam kancah bola sepak tempatan.
Beliau juga kini meledak gol dalam tiga final Piala Malaysia berturut-turut selepas final 2024/25 menentang Sri Pahang FC dan final 2023 menentang Terengganu FC (TFC).
Prestasinya pada final turut membanggakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dengan baginda mengucapkan ‘selamat kembali juara’ kepada pemain Harimau Malaya itu.
Pengantin baharu itu menjelaskan semuanya bergantung kepada mentalnya yang kuat di mana beliau sentiasa berkeyakinan tinggi untuk kembali beraksi dan mendapatkan prestasi yang memukau seperti sebelum ini.
Tegasnya, beliau sudah bersedia dengan cabaran yang bakal dihadapi terutamanya selepas mengambil kira perkembangan terkininya yang terpaksa berehat panjang susulan kecederaan dialami pada November tahun lalu.
“Saya sudah bersedia dengan perkara terbabit. Ini semua adalah mentaliti seseorang pemain. Mungkin mentaliti saya lebih kuat kepada kerja saya.
“Bukan untuk diri saya tetapi kerja saya sebagai pemain bola sepak. Selepas saya cedera, memang saya ada baca di mana orang katakan saya takkan dapat main seperti biasa, takkan dapat rentak dulu.
“Tak apalah sebab ‘mindset’ saya memang sentiasa yakin dengan diri saya di mana saya boleh lakukan untuk balik seperti yang asal (prestasi sebelum ini),” kata Arif.