sukan

Mentaliti ‘pembunuh’ penting untuk raih kemenangan – Gamel

Selangor FC sepatutnya meraih kemenangan lebih besar ke atas Melaka FC pada aksi Liga Super, malam tadi sekiranya beberapa peluang terhidang dapat disudahkan dengan jaringan.

Perkara itu diakui ketua jurulatih Selangor, Christophe Gamel selepas Gergasi Merah meraih kemenangan 3-0 dengan semua jaringan itu dihasilkan dalam tempoh 13 minit pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pengendali berusia 53 tahun itu menjelaskan, pasukannya memerlukan mentaliti ‘pembunuh’ terutama dalam melakukan penyudah lebih tajam untuk terus melakar keputusan positif dengan jumlah jaringan menjadi aspek penting dalam menentukan kedudukan di akhir liga.

“Kami memulakan permainan dengan rentak yang sangat baik dan agresif. Selepas (mendapat) tiga gol, kami menyesuaikan diri dengan rentak mereka dan bukannya meneruskan rentak kami dalam permainan.

“Kami mencipta banyak peluang dan saya ada pemain berbeza yang menjaringkan gol. Bagi saya, itu penting dan ia bermakna kami bermain sebagai satu pasukan.

“Namun, kami perlu mempunyai mentaliti ‘pembunuh’ dan perkara itu juga yang menyebabkan kami tersingkir daripada Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2). Apabila kami mempunyai peluang, kami mesti mematikannya (menjaringkan gol).

“Bagaimanapun kita tidak boleh merumuskan permainan hanya dengan perkara itu sahaja. Sekurang-kurangnya kami meraih tiga mata, mereka (pemain) bukan robot, mereka adalah manusia. Anda boleh menjaringkan gol dan kadang-kadang anda terlepas, saya tidak mahu menyalahkan mereka.

“Ya, pastinya (Selangor patut menang dengan jaringan lebih besar). Saya tidak tahu, tetapi enam atau tujuh gol boleh menjadi keputusan yang tepat kerana secara pertahanan kami mantap,” katanya selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, Selangor bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi Noor Al-Rawabdeh seawal minit kedua sebelum Alvin Fortes dan Chrigor Moraes menambah dua lagi gol pada minit ke-10 dan 13.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor berjaya mendaki ke tangga ketiga liga, berkongsi 25 mata bersama pasukan tangga kedua, Kuching City dan Kuala Lumpur (KL) City yang menghuni kedudukan keempat.