sukan

Mereka ada hak untuk mewakili Malaysia — Nidzam

Kuala Lumpur: Pemain tempatan diseru agar tidak mudah mengalah sebaliknya perlu memiliki kekuatan mental untuk bersaing dengan pemain warisan mahupun naturalisasi selepas ini.

Pandangan itu disuarakan bekas pemain negara, Nidzam Jamil yang menganggap kehadiran tonggak berstatus warisan dan naturalisasi itu perlu dipandang secara positif bagi meninggalkan prestasi dan kualiti skuad Harimau Malaya.

“Kita tak boleh lari daripada isu naturalisasi sebab banyak negara dalam dunia (dah guna kaedah sama). Saya suka tentang bakat tempatan, tapi ia satu cabaran namun bukan mengenai pemain sahaja…tapi cabaran kepada jurulatih juga.

“Sebab bakat ini dah terbuka, pemain warisan dan naturalisasi ini mereka ada hak secara undang-undang untuk mewakili Malaysia. Saya rasa ini satu cabaran buat semua pihak untuk mewujudkan persiapan lebih baik.

“Tapi kalau pemain tempatan kita buang (mengaku kalah) begitu saja, ia menunjukkan mental kita tak cukup kuat untuk bersaing.

“Saya harap dengan penambahan naturalisasi dan warisan ini, akan bagi ‘feedback’ yang bagus untuk pemain muda melonjak naik, pengurusan meningkat naik dan liga kita lebih teratur,” katanya ketika ditemui pada pelancaran buku ‘Bola Mental’ karangan bekas pemain, Rosli Hussein di Universiti Malaya, di sini hari ini.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan terdapat lapan pemain warisan bakal menyarung jersi negara dengan proses dokumentasi sedang dilaksanakan.

Malah, kerajaan menerusi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan pihaknya sedang melakukan proses semakan terlebih dahulu terhadap empat daripada lapan pemain warisan dan akan diketahui seawalnya dalam tempoh satu bulan akan datang.

Ujar Saifuddin, ia bagi menentukan kategori permohonan sama ada pemain terbabit mempunyai pertalian darah dengan rakyat Malaysia atau tidak.

sumber:-HM

Selain calon warisan itu, difahamkan tiga lagi pemain berstatus naturalisasi turut sedang dipertimbangkan babitkan Bergson da Silva, Manuel Hidalgo dan Giancarlo Gallifuoco, selepas ketiga-tiganya melengkapkan tempoh beraksi di Liga Malaysia selama lima tahun.