KUALA LUMPUR: Meskipun terpaksa menjadi ‘penonton’ bagi dua perlawanan Harimau Malaya menentang Laos pada Kelayakan Piala Asia 2027 namun semangat tujuh pemain berdarah warisan yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tetap meluap-luap.
Situasi itu didedahkan pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski yang mengakui betapa barisan pemain turut sama merasai sokongan yang diberikan mereka sekali gus turut memberi motivasi yang membawa kepada dua kemenangan ke atas seteru Asia Tenggara itu.
Justeru, kemenangan besar 5-0 pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu turut didedikasikan kepada tujuh pemain terbabit yang ketika ini sedang menghitung nasib di tangan FIFA.
“Saya tahu semua pemain dalam pasukan ini turut memikirkan mengenai tujuh pemain yang tidak bersama kita pada perlawanan ini.
“Mereka (tujuh pemain berdarah warisan) juga adalah rakyat Malaysia dan mereka mahu berada di sini. Mereka begitu menginginkan dan berkobar-kobar untuk mewakili skuad negara.
“Persembahan ini, kemenangan dan lima gol ini bukan sahaja untuk negara tetapi untuk mereka juga. Saya harap penyokong akan terus berada di belakang pasukan untuk perlawanan seterusnya,” kata Cklamovski.
Sebagai rekod, skuad negara kempunan untuk menggunakan khidmat tujuh pemain berdarah warisan iaitu Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Imanol Machuca bagi panggilan kali ini.
Ini selepas tujuh pemain itu digantung selama 12 bulan oleh FIFA selepas Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati mereka dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terbabit dengan pemalsuan dokumen.
Bagaimanapun, FAM sudah mengemukakan rayuan kepada FIFA berhubung isu membabitkan dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan rayuan itu dikemukakan pasukan peguam sebelum tarikh akhir dengan proses rayuan itu dikendalikan pasukan peguam luar negara yang dilantik.