KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) bakal mengharungi ‘ujian terakhir’ sebelum turun mengharungi aksi final pertama Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menentang penyandang juara, PDRM FC, 15 Februari ini.
Bagaimanapun, skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi yang sudah pasti memerlukan suntikan motivasi sebelum aksi penting itu bakal mengharungi cabaran sukar apabila dijadual menentang finalis Piala Malaysia, Sri Pahang FC (SPFC), esok.
Peluang berdepan finalis Piala Malaysia itu boleh dianggap sebagai medan terbaik untuk skuad ‘The Red Giants’ melakukan persediaan kerana berbanding aksi liga, final Piala Cabaran MFL tampak lebih ‘berat’ memandangkan ia menawarkan piala untuk dimenangi.
Meskipun mereka sedang menikmati lonjakan prestasi selepas belum lagi tewas dalam sembilan perlawanan terakhir namun masih ada ‘kecacatan’ besar yang seharusnya diperbaiki oleh mereka menjelang aksi final nanti.
Ini selepas statistik di bahagian serangan mereka agak merisaukan khususnya buat pasukan yang ketika ini menghuni tangga kedua Liga Super dan finalis Piala Cabaran MFL.
Dalam empat perlawanan terakhir, pasukan itu boleh dianggap bagaikan ‘meriam tersumbat’ apabila hanya mampu meledak empat gol – satu gol dalam setiap perlawanan.
Cuma aspek positifnya, satu gol itu sudah cukup membantu mereka untuk menang tiga daripada empat perlawanan terbabit.
Menang memang menang tetapi statistik ini sudah pasti menjadi detik kritikal khususnya di bahagian serangan SFC memandangkan pasukan itu akan berdepan kesukaran sekiranya hanya bergantung kepada satu jaringan semata-mata.
Kinoshi sudah tentu memiliki percaturan terbaik bagi memastikan jentera serangan SFC kembali ‘meletup’ dan ini harus bermula dengan pertemuan menentang SPFC, malam ini.
sumber:-BH
Kemenangan ke atas skuad ‘Tok Gajah’ pasti meningkatkan lagi keyakinan barisan pemain untuk final Piala Cabaran MFL tetapi jika sebaliknya, ada kelemahan yang boleh diperbaiki.