Lionel Messi menegaskan kejayaan Argentina mara ke final Piala Dunia bukan hasil layanan istimewa atau keputusan pengadil yang memihak kepada mereka, sebaliknya disebabkan mentaliti juara yang dimiliki pasukan itu.
Bintang Argentina itu membalas kritikan yang mendakwa juara bertahan itu mendapat kelebihan daripada pengadilan dan badan pentadbir bola sepak dunia.
Menurutnya, kebolehan Argentina bangkit daripada ketinggalan, termasuk ketika menewaskan England di separuh akhir, adalah hasil semangat juang pasukan.
Argentina bangkit daripada ketinggalan 0-1 sehingga minit ke-85 sebelum menang 2-1 ke atas England semalam sekali gus mara ke final Piala Dunia.
Kemenangan itu mencetuskan sambutan besar-besaran di jalanan Buenos Aires apabila puluhan ribu penyokong meraikan kejayaan pasukan mereka yang kini hanya selangkah lagi untuk mempertahankan gelaran. Argentina akan berdepan Sepanyol pada final awal pagi Isnin ini.
Sebelum itu, Argentina turut mengharungi laluan sukar apabila menewaskan Cape Verde dan Switzerland selepas masa tambahan, selain mencipta kebangkitan dramatik untuk menewaskan Mesir 3-2 selepas ketinggalan 0-2 dengan hanya berbaki 11 minit permainan.
Bagaimanapun, pengendali Switzerland dan Mesir mengkritik keputusan pengadil.
Pengendali Mesir, Hossam Hassan mendakwa pasukannya menjadi mangsa sistem bola sepak yang memihak kepada Messi dan Argentina.
Kenyataan itu menguatkan lagi kritikan penyokong yang mendakwa laluan Argentina ke final lebih mudah, selain dakwaan tidak berasas di media sosial bahawa badan induk bola sepak dunia mahu Argentina muncul juara sekali lagi.
“Kami adalah pasukan terbaik sepanjang empat tahun lalu, sama ada orang suka atau tidak, dan tidak kira apa yang diperkatakan.
“Sekali lagi kami membuktikan kami berada dalam kelompok dua pasukan terbaik dunia. Itu membuktikan segala yang kami lakukan bukan kebetulan dan tiada apa yang diberi kepada kami secara percuma,” kata Messi selepas kemenangan ke atas England.
Perlawanan menentang Switzerland turut mencetuskan kontroversi apabila keputusan pengadil dipersoalkan.
Switzerland baru menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Dan Ndoye pada minit ke-67 sebelum Leandro Paredes dilayangkan kad kuning kerana mengasari Breel Embolo.
Namun, rakaman video menunjukkan Embolo terjatuh sebelum berlaku sentuhan. Disebabkan Embolo sudah menerima kad kuning sebelum itu, dia dilayangkan kad merah dan Switzerland terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Sementara itu, Persatuan Bolasepak Mesir menegaskan mereka “tidak boleh berdiam diri” terhadap apa yang disifatkan sebagai pengadilan yang tidak adil dan berat sebelah ketika tewas kepada Argentina.
Sebelum ini, kem Argentina enggan melayan dakwaan berhubung pengadilan dan FIFA. Pengendalinya Lionel Scaloni pernah menasihatkan wartawan supaya “jangan terlalu percaya apa yang dibaca di media sosial.”
Namun selepas menewaskan England, juara bertahan itu akhirnya tampil menjawab segala kritikan.
“Beraksi dalam dua final Piala Dunia berturut-turut adalah sesuatu yang sangat sukar dicapai, tetapi kumpulan ini berjaya melakukannya.
“Kalau kami tewas kepada England, pasti ada orang akan keluar bercakap macam-macam, tetapi kami tidak beri mereka peluang,” tambah Messi.
Enzo Fernandez mengakui sambutan golnya yang menyamakan kedudukan 1-1 ditujukan kepada pengkritik Argentina.
Pemain tengah Chelsea itu terlebih dahulu meletakkan tangan di telinga sebagai isyarat mencabar pengkritik, sebelum membuat isyarat dengan jarinya seolah-olah mengajak mereka terus bercakap.
“Banyak yang diperkatakan. Ia adalah gabungan rasa gembira dan kecewa,” kata Fernandez.
Scaloni pula menegaskan dakwaan Argentina menerima bantuan pengadil akan sentiasa wujud, namun beliau tidak menghiraukannya.
“Cerita kononnya kami mendapat bantuan akan sentiasa ada. Ia tidak mengganggu saya.
“Dengan adanya VAR sekarang, amat sukar untuk sesiapa memberi bantuan kecuali jika ia benar-benar jelas. Kami tahu memang tiada sebarang bantuan,” kata Scaloni. – AGENSI