MIAMI, Amerika Syarikat: Copa America memasuki peringkat empat terakhir dengan pasukan pilihan Argentina mengintai peluang menjuarai gelaran ketiga berturut-turut dalam kejohanan utama.
Argentina yang juga juara dunia dan juara bertahan Copa America dijadual menentang Kanada pada separuh akhir di New Jersey, pagi Rabu ini.
Sehari kemudian di Charlotte, Uruguay yang menyingkirkan Brazil menerusi penentuan penalti akan bertemu Colombia yang tidak pernah tewas dalam 27 perlawanan termasuk menewaskan Panama 5-0 pada aksi suku akhir.
Argentina dan Uruguay yang ketika ini berkongsi 15 gelaran Copa America berharap dapat mengatasi rekod itu sekali gus menjadi negara paling berjaya dalam sejarah kejohanan.
Colombia hanya sekali menjulang trofi Copa America pada 2001 manakala Kanada membuat penampilan pertama pada kejohanan itu.
Argentina memerlukan aksi hebat penjaga gol Emiliano Martinez ketika menewaskan Ecuador menerusi penentuan penalti pada suku akhir dan skuad Lionel Scaloni muncul pasukan pilihan apabila turun menentang Kanada.
Jurulatih Kanada dari Amerika Syarikat, Jesse Marsch pula mencipta impak segera selepas mengambil alih tugas pada pertengahan Mei lalu dan pantas menerapkan corak serangan berintensiti tinggi untuk menekan lawan.
Hasilnya Kanada menang penentuan penalti ke atas Venezuela yang sebelum itu menang semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, mereka sedar Lionel Messi dan Argentina bukan sebarangan dan tampil berbeza berbanding Venezuela.
Kedua-dua pasukan bertemu pada aksi pertama peringkat kumpulan menyaksikan Argentina menang 2-0 tetapi ia tidak menjejaskan keyakinan dalam skuad Marsch.
“Kami akan melakukan apa sahaja,” kata pemain sayap Bayern Munich, Alphonso Davies.
“Beraksi pada perlawanan ini, kami tahu apa yang perlu dilakukan. Menang kami ke depan tapi jika kalah, kami pulang. Kami kini lebih ‘lapar’ daripada sebelum ini dan kami jangka pertarungan sengit dengan Argentina,” katanya.
Sementara itu, Uruguay yang masih segar dengan kejayaan menyingkirkan Brazil di Las Vegas tetap berwaspada dengan ancaman Colombia.
“Perlawanan menentang Colombia tetap mencabar seperti bermain dengan Brazil kerana mereka adalah pasukan yang terus berkembang dari satu kejohanan ke satu kejohanan,” kata jurulatih Uruguay, Marcelo Bielsa.
“Seperti Brazil, mereka mempunyai pemain penting di setiap posisi, tetapi kami yakin kami boleh bermain dengan seimbang dengan mana-mana lawan,” tambahnya.
sumber:-BH
Final Copa America akan berlangsung di Miami pada 14 Julai. – AFP