sukan

MFL tampil perjelas isu lesen KDN FC

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu bertenang khususnya penyokong bola sepak Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) babitkan isu tunggakan gaji.

Tampil menjelaskan situasi bagaimana KDN FC boleh diberikan Lesen Kebangsaan untuk beraksi di Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2025/2026 biarpun masih bergelut dalam menyelesaikan tunggakan gaji, penganjur Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mempunyai jawapan berkenaan perkara terbabit.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, pemberian Lesen Kebangsaan kepada skuad Kijang Emas itu adalah mengikut peraturan yang ditetapkan dan sah.

Katanya, bagi pemberian lesen untuk musim baharu, kitaran permohonan diambil kira daripada tahun sebelumnya di mana setiap pasukan wajib menyelesaikan segala tunggakan gaji yang ada.

Jelasnya, dalam kes KDN FC ini, kelab dari Pantai Timur itu sudah berjaya menyelesaikan semua tunggakan bagi musim 2024 sekali gus menyaksikan pasukan itu diberikan kebenaran untuk bertanding.

“Kitaran mendapatkan lesen untuk bermain liga ini adalah sehingga berakhirnya 2024. Jadi pasukan KDN telah membuat pembayaran gaji bagi musim 2024.

“Bagi musim yang akan datang sebagai contoh liga kita dua musim, ada gaji-gaji yang masih belum dilunaskan oleh pasukan Kelantan seperti mana yang saya maklumkan tadi, namun proses kelab juga ada memaklumkan bahawa ada perjanjian pembayaran secara berkala yang akan dibuat pasukan Kelantan.

“Jadi dokumen-dokumen tersebut kita terima dan juga itu yang menyebabkan lesen itu diberikan, dan dari sudut pelesenan 2024 Kelantan dah selesai semuanya. Mungkin gaji-gaji tersebut (tunggakan) adalah musim 2025,” katanya ketika ditemui pada Majlis LaLiga Extra Time di sini, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pemain KDN FC tampil mempersoalkan Lesen Kebangsaan yang diraih kelab itu meskipun masih belum menyelesaikan sepenuhnya tunggakan gaji.

Ujar Shazli lagi, pihaknya dimaklumkan satu pertemuan antara pengurusan tertinggi KDN FC bersama pemain dan bekas pemain akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjernihkan keadaan.

“Sudah dah tentu kita kerap berkomunikasi dengan kelab-kelab, dah tentu dalam isu Kelantan juga kita berkomunikasi dengan pengurusan Kelantan.

“Perkara itu kita dah tegaskan kepada pengurusan kelab, seperti mana saya maklumkan tadi buat masa ini kalau ikut dari segi pelesenan Kelantan dah selesaikan untuk pelesenan tahun lepas.

“Untuk tahun ini, perkara-perkara tertunggak Kelantan sudah maklum secara bertulis kepada MFL, di mana ada proses perjanjian secara berkala.

sumber:- HM

“Saya pun mendapat maklum terkini dari pengurusan Kelantan akan ada sesi perjumpaan dengan pemain-pemain dan pasukan untuk mereka menjelaskan lebih lanjut perkara tertunggak tersebut,” katanya.