KUALA LUMPUR: Penganjur saingan liga utama negara, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) nyata ‘tidak goyang’ dengan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa saingan Liga A1 Semi-Pro lebih menarik daripada Liga Super.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, beliau tidak kisah dengan pandangan berkenaan apabila sebaliknya menganggap ia satu perkara yang positif.
Ujarnya, saingan divisyen kedua yang ditunjangi kesemuanya pasukan bertaraf amatur perlu tampil kukuh dan tumpuan ribuan mata ke arah Liga A-1 itu bakal memberi gambaran tahap kesediaan mereka sebelum memasuki saingan lebih profesional di liga atasan.
“Dari sudut pandangan kami di MFL, perkara itu sebenarnya positif. Kita perlukan satu liga divisyen kedua yang kukuh untuk memberi tekanan kepada pasukan-pasukan dalam Liga Super.
“Ini supaya pasukan Liga Super tidak leka atau terlalu selesa. Contohnya, apabila musim berakhir, pasukan di kedudukan dua, tiga, atau empat tercorot sering rasa selamat kerana tidak ada penyingkiran yang drastik.
“Tapi tahun ini, AFL (Liga Bolasepak Amatur) menampilkan banyak pasukan yang mempunyai keupayaan untuk bersaing merebut kejuaraan.
“Kita lihat ada pasukan seperti Perak, Kedah dan beberapa kelab baharu yang bersaing dalam Piala AFL, saya rasa ini adalah perkembangan positif yang menyemarakkan bola sepak Malaysia.
“Secara tidak langsung memberikan tekanan sihat kepada pasukan-pasukan Liga Super. Kita cuba menstabilkan ekosistem ini,” katanya.
Saingan Liga A1 bakal tampil lebih meriah bagi musim 2025/2026 apabila sebanyak 16 pasukan bakal bersaing dengan turut mendapat hak siaran langsung di televisyen tempatan.
sumber:- HM
Liga Super pula menyaksikan sejumlah 13 pasukan bakal merebut kejuaraan musim baharu ini, dengan sepak mula akan diadakan pada 8 Ogos babitkan aksi antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim nanti.