sukan

MFL yakin jadual Liga Super musim ini lebih tersusun

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) memberi jaminan untuk memastikan jadual Liga Super musim ini lebih tersusun dan tidak mengalami perubahan pada saat akhir seperti yang berlaku pada musim lalu.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, perkara itu menjadi keutamaan pihaknya dalam usaha meningkatkan profesionalisme dan kredibiliti penganjuran liga tempatan.

“Salah satu inisiatif awal yang akan dilaksanakan adalah taklimat khas bersama CEO serta wakil-wakil daripada persatuan dan kelab bola sepak bagi memperincikan perjalanan saingan liga musim ini,” katanya.

Beliau mengakui, pengendalian jadual bukan satu perkara mudah memandangkan musim Liga Super merangkumi tempoh sepuluh bulan dan perlu disesuaikan dengan pelbagai komitmen lain termasuk Piala Shopee, kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabansga (FIFA) serta cuti umum.

“Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai jumlah cuti umum tertinggi dalam tempoh liga sedang berlangsung. Oleh itu, perbincangan awal bersama semua CEO kelab adalah penting supaya mereka memahami faktor-faktor ini dan tidak timbul isu perubahan jadual secara mendadak di kemudian hari,” katanya.

Terdahulu, musim lalu menyaksikan jadual Liga Super menjadi topik kritikan dalam kalangan penyokong selepas beberapa perubahan dibuat pada saat akhir sehingga menjejaskan kelancaran liga.

sumber:- SH

Mohd Shazli turut memaklumkan bahawa jadual rasmi Liga Super akan diumumkan dalam masa terdekat, selepas undian Piala Shopee yang melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor berlangsung pada Jumaat ini.