KOTA BHARU: Bekas bintang TRW Kelantan FC, Mior Dani Armin kembali menyarung jersi Kelantan apabila disambar Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC) bagi membantu pasukan menghadapi saingan Liga Super musim 2024/25.
Mior Dani, 25, pernah beraksi bersama Kelantan pada musim 2021.
Kemasukan pemain tengah itu ke dalam pasukan Kijang Emas diumumkan semalam di laman rasmi Facebook pasukan.
Terdahulu, pemain muda kelahiran Selangor ini mempamerkan aksi berkualiti ketika bersama anak buah Zamsaham dalam saingan Liga Premier, sebelum dipinjamkan ke pasukan Sri Pahang FC pada jendela perpindahan musim 2022 yang mengejutkan ramai peminat TRW dan pemerhati sukan bola sepak.
Ini kerana, Mior Dani menjadi antara watak penting yang membantu TRW di kedudukan teratas dan menjadi prospek juara liga waktu itu.
Tidak dipinjam secara kekal, pemain itu kemudian kembali ke Kota Bharu sebelum Kedah Darul Aman (KDA FC) menawarkan pinjaman semusim pada tahun lalu dan sekali lagi menyaksikan pemain muda ini berhijrah ke luar.
Dua musim bersama Sri Pahang dan KDA FC, Mior Dani mendapat pengalaman berharga selepas diturunkan dalam saingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA meskipun sebagai pemain gantian.
Pengalaman yang ada padanya dan rekod baik yang ditunjukkan menarik minat KDN FC untuk merekrut semula pemain ini ke dalam skuad utama.
sumber:-BH
Mior akan memakai jersi bernombor 28 dan bakal beraksi pertama kali bersama pasukan baharu menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Jumaat ini.
Dia juga akan berpeluang menyertai perlawanan pra-musim itu yang turut menguji sistem bantuan pengadil (VAR).