sukan

Misbun pula buka mulut berkenaan prestasi Zii Jia

Datuk Misbun Sidek melihat cabaran utama Lee Zii Jia ketika ini bukan kerana pemain itu tidak pernah mencapai kejayaan, sebaliknya persoalan mengenai perkara yang menyebabkan prestasinya gagal kekal pada tahap terbaik.

Bekas pembimbing Zii Jia itu berkata, pemain berusia 28 tahun berkenaan sudah membuktikan kemampuannya apabila menjuarai Seluruh England pada 2021 dan pernah berada pada tahap terbaik dunia. Justeru, perkara yang perlu diberi perhatian sekarang ialah punca yang menghalangnya daripada kembali ke tahap berkenaan.

“Dia pernah jadi juara Seluruh England, dia pernah jadi yang terbaik. Bukan dia tidak pernah.

“Tetapi apa yang menyebabkan dia tidak sampai? Itu jurulatih harus pandang di situ,” katanya ketika ditemui media di Kejohanan Badminton Media Allianz hari ini.

Misbun menyifatkan Zii Jia sebagai pemain menyerang, namun menilai prestasinya kini masih belum kembali kepada tahap terbaik yang pernah dicapai sebelum ini. Beliau turut mendakwa sesuatu telah menghalang pemain kelahiran Alor Setar itu daripada mengekalkan momentum.

“Zii Jia seorang pemain menyerang, tetapi saya lihat dia masih belum mencapai tahap terbaiknya. Dia pernah berada di tahap itu, tetapi sekarang prestasinya sudah menurun dan usia juga mula memberi kesan.

“Kalau nak beri nasihat memang boleh, tetapi dia sendiri nak atau tidak? Itu maksudnya.

“Macam kuda, kalau dia tidak dahaga, kita tarik macam mana pun dia tidak mahu minum. Tetapi kalau dia hendak, dia ada cara bagaimana dia nak buat sebab dia pernah sampai ke situ,” katanya.

Bagi Misbun, nasihat boleh diberikan, tetapi keberkesanannya bergantung kepada kesediaan Zii Jia sendiri untuk menerima bantuan dan mencari semula jalan yang boleh membawanya ke tahap prestasi terdahulu.

“Kalau dia tidak dahaga, kita tarik macam mana pun dia tidak mahu minum.”

Perumpamaan itu menjadi gambaran jelas pendirian Misbun mengenai situasi semasa Zii Jia. Pada masa sama, beliau tidak menafikan pemain itu masih menunjukkan keinginan untuk terus bermain dan mencuba walaupun keputusan semasa belum memihak kepadanya.

“Untuk sekarang ini saya boleh cakap sajalah. Saya boleh cakap sebab saya tengok dia budak baik. Saya tengok dia nak bermain.

“Kalau tidak, dia tidak akan keluar dan bermain sampai sekarang. Dia cuba, walaupun kejohanan kecil pun susah nak ambil.

“Pasal ada benda yang dia terbelenggu di dalam dirinya. Apa benda itu, siapa yang nak korek untuk dia?,” katanya.

Misbun berkata beliau boleh memberikan nasihat berdasarkan pengalamannya sekiranya Zii Jia sendiri datang kepadanya, tetapi buat masa ini beliau tidak mahu pergi lebih jauh.

Zii Jia masih bergelut untuk kembali ke tahap terbaik selepas melalui satu lagi keputusan mengecewakan apabila tewas secara mengejut kepada pemain ranking ke-88 dunia, Wu Zhe Ying pada pusingan pertama Terbuka Vietnam minggu lalu.