sukan

Misi hidup mati Selangor di Manila

KUALA LUMPUR: Selepas tersingkir awal dari saingan Piala Malaysia, Selangor kini sedang menghitung nasib mereka di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Tugas berat menanti Gergasi Merah apabila wajib meraih kemenangan ke atas kelab Filipina, Cebu FC dalam aksi terakhir Kumpulan H di Stadium Rizal Memorial, Manila, esok.

Bukan sahaja wajib menang, malah pada yang sama skuad kendalian Katsuhito Kinoshi juga perlu mengharapkan Muangthong United tidak berjaya mengalahkan Jeonbuk di Stadium Rajamangala, Bangkok untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik.

Tekanan tinggi pasti dirasai Kinoshi ketika ini untuk memberi ‘hadiah’ pertama kepada penyokong Selangor dengan membawa skuad itu ke pusingan 16 terbaik ACL2.

Pengendali dari Jepun itu gagal dalam dua ujian awal bersama Gergasi Merah selepas tewas 1-2 kepada Muangthong United dan Sri Pahang yang menyaksikan Selangor terlepas tiket awal ke pusingan 16 ACL2 dan tersingkir dari Piala Malaysia.

Kinoshi bagaimanapun menjelaskan pasukannya akan belajar dari dua kekalahan itu untuk bangkit pada aksi seterusnya terutama bagi perlawanan menentang Cebu.

“Kami akan membuat penilaian dari dua perlawanan itu untuk menunjukkan perbezaan dan perlawanan seterusnya di Manila menentang Cebu.

“Saya belum dapat memberikan kemenangan yang diharapkan oleh penyokong dalam dua perlawanan terakhir ini, tetapi saya ingin semua tahu bahawa ini bukanlah pengakhiran.

“Semestinya kami belajar, berkembang dan menggunakan pengalaman ini untuk membina konsisten dan memperbaiki diri untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Kekalahan kepada Muangthong United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Khamis lalu menyaksikan Selangor berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul tujuh mata, satu mata di belakang kelab Thailand itu yang menghuni tangga kedua.

sumber:- BH

Jeonbuk yang sudah mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik memimpin kumpulan dengan mengumpul 12 mata manakala Cebu hanya menghimpun satu mata di kedudukan tercorot.