Selangor akan memulakan langkah memburu gelaran ke-34 Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV apabila turun menentang Kelantan The Real Warriors (TRW), malam esok.
Selangor yang juga juara terbanyak Piala Malaysia selepas 33 kali memenangi trofi itu hadir ke gelanggang TRW dengan membawa motivasi terbaik di bawah bimbingan bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon.
Pan Gon yang diumumkan sebagai pengendali baharu Selangor pada 5 Januari lalu mengecapi detik cemerlang apabila berjaya memacu Gergasi Merah merekodkan dua kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan Negeri Sembilan 1-0, Rabu lalu, sekali gus naik ke tangga kedua Liga Super.
Melihat kepada perkembangan positif yang ditunjukkan ketika ini, Selangor tampak memiliki peluang cerah untuk meraih bekalan berdepan Kelantan TRW sebelum menghadapi aksi kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jumaat ini.
Namun, mereka tetap tidak boleh memandang mudah terhadap skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu yang berada di tangga ketiga terbawah liga dengan Pan Gon menegaskan bahawa pasukannya perlu mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan.
“Saya bangga dengan usaha pemain, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. Kami akan terus membangunkan DNA pasukan, itu perkara paling penting.
“Kami mahu menampilkan bola sepak yang positif, bertenaga dan dinamik yang mana apabila perkara itu dilakukan, keputusan akan menyusul. Jadi kami akan bekerja keras,” katanya.
Membawa misi sama dengan Selangor, Kelantan TRW juga berada pada situasi yang baik selepas kejayaan menewaskan Sabah 3-2 dalam aksi liga di gelanggang sendiri, Selasa lalu, sekali gus menamatkan rentetan kekalahan dalam tujuh perlawanan mereka sebelum itu.
Sementara itu, Terengganu FC (TFC) dijangka berdepan tugasan lebih mudah apabila akan menentang kelab Liga A1 Semi Pro, UM-Damansara United di Stadium UM Arena, petang esok.
Sedar berstatus pasukan lebih kerdil, pengendali UM-Damansara United, Ridzuan Abu Shah bagaimanapun sedia menyahut cabaran besar untuk berdepan TFC yang dianggap sebagai pasukan berpengalaman dalam Liga Malaysia.
“Kita kena menghormati pasukan yang sudah lama berada di Liga Super dengan Terengganu mempunyai pemain import dan pemain berkaliber. Itu adalah ancaman kepada kami yang baru pertama kali berada di Piala Malaysia.
“Ia cabaran yang harus saya sahut dan berusaha mengetengahkan pemain yang kami ada untuk Piala Malaysia,” katanya.