sukan

Misi United semakin sukar

LONDON: Jurulatih Manchester United, Erik Ten Hag kecewa dan menyalahkan kesilapan yang memakan diri serta kegagalan membuat keputusan tepat menyebabkan pasukannya melepaskan dua gol menentang Chelsea sebelum kalah 4-3 awal pagi tadi.

Ten Hag berkata, pasukannya berhak untuk menang di Stamford Bridge, selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menyamakan kedudukan menerusi Alejandro Garnacho dan Bruno Fernandes.

Kesilapan individu bagaimanapun menjurus kepada kekalahan hanya beberapa hari selepas pasukannya melepaskan gol penyamaan lewat permainan kepada Brentford ketika seri 1-1 sekali gus semakin menjauh daripada penamat kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Manchester United kini menghuni tangga keenam dengan 48 mata.

“Saya berasakan kami mendominasi permainan, meletakkan diri kami dalam kedudukan menang, menjaringkan gol hebat,” kata Ten Hag kepada wartawan.

“Kemudian pada masa kecederaan, kami tidak mampu untuk menang. Sudah tentu ia mengecewakan.

“Kami melakukan kesilapan individu yang menyebabkan kami kalah. Pemain tahu tugas mereka tetapi mereka tidak membuat keputusan yang tepat. Kami perlu membaca bila untuk memegang bola, membuat hantaran, bergerak dan bertukar hantaran apabila kami mendahului.

“Dalam tempoh lima hari kami hilang lima mata. Ia tidak boleh diterima. Kami mensia-siakan perlawanan yang patutnya kami menang.”

Pengurus warga Belanda itu berkata, kecederaan tonggak utama menjejaskan persembahan pasukannya tetapi beliau yakin pemainnya akan tampil Ahad ini apabila mereka melayan kunjungan pendahulu Liverpool.

“(Raphael) Varane, (Jonny) Evans, juga Casemiro kami terpaksa keluarkan. Ia tidak membantu. Anda perlukan mereka untuk memimpin tetapi apa boleh buat,” katanya.

sumber:-BH

“Saya tidak tahu jika mereka akan bermain Ahad ini. Pasukan akan berada di sana pada Ahad. Mereka ada karakter. Mereka membuktikannya hari ini, berjuang untuk kembali bersaing.” – REUTERS