sukan

Misi wajib menang bertemu Tajikistan

Kuala Lumpur: Barisan pemain skuad bawah 19 tahun (B-19) bakal berdepan satu lagi ujian getir dalam misi layak ke Piala Asia B-20 di China tahun depan apabila turun dalam aksi ketiga Kumpulan E Kelayakan Piala Asia menentang Tajikistan di Stadium Republican Central, Dushanbe, malam esok.

Pengendali pasukan negara, Juan Torres Garrido berkata, aksi menentang pasukan tuan rumah itu bukan mudah dan beliau menuntut komitmen tinggi daripada anak buahnya untuk memburu kemenangan.

“Kami akan menghadapi satu lagi cabaran sukar, bermain (menentang) Tajikistan dan saya percaya itu satu lagi peluang untuk pasukan terus meningkat.

“Kami melakukan pemulihan yang sewajarnya untuk pemain dan menyediakan mereka untuk perlawanan seterusnya. Kami mahu pasukan terus kukuh dan konsisten,” katanya yang berasal dari Sepanyol.

Kemenangan ke atas Tajikistan bakal meletakkan Malaysia pada kedudukan terbaik untuk layak ke pusingan akhir tahun depan yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 23 Februari 2025 di China nanti.

Sebelum ini, skuad Harimau Muda negara itu berjaya membenam Oman 2-1 sebelum terikat tanpa jaringan dengan Korea Utara untuk memungut empat mata di tangga kedua Kumpulan E, dengan baki dua aksi termasuk bertemu Tajikistan dan Sri Lanka penentu kepada hala tuju pasukan.

Berdasarkan format kelayakan, 10 juara kumpulan akan meraih tiket dengan lima lagi slot akan diberikan kepada naib juara terbaik daripada 10 kumpulan itu untuk melengkapkan 16 pasukan termasuk China yang layak automatik selaku pasukan tuan rumah.

Di Piala Asia itu nanti, empat pasukan yang layak ke separuh akhir akan menggenggam tiket ke Piala Dunia B-20 untuk mewakili benua Asia dengan Chile menjadi tuan rumah saingan tertinggi dunia itu.

sumber:-HM

Untuk rekod, skuad B-20 tahun negara pernah beraksi di Piala Dunia B-20 pada 1997 di mana skuad kendalian Hatem Souissi ketika itu beraksi atas slot tuan rumah yang menyaksikan Argentina muncul juara selepas menewaskan Uruguay di Stadium Shah Alam.