sukan

Modric mahu terus bermain untuk negara

LEIPZIG: Kapten Croatia, Luka Modric mahu terus bermain walaupun skuad kebangsaannya berkemungkinan besar tersingkir dari saingan Euro 2024 selepas terikat 1-1 dengan Itali pada aksi terakhir Kumpulan B mereka, awal pagi tadi.

Modric yang muncul pemenang Ballon d’Or 2018 ketika Croatia melangkah ke final Piala Dunia di Moscow, meletakkan pasukannya di hadapan sebelum Mattia Zaccagni menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Keputusan itu membolehkan Itali mara ke pusingan kalah mati dan meninggalkan Croatia di tempat ketiga Kumpulan B dengan dua mata – yang berkemungkinan tidak mencukupi bagi mereka untuk menempah salah satu slot ditawarkan buat empat pasukan terbaik yang berada di tangga ketiga.

Biarpun kecewa, Modric menegaskan yang dia akan terus bersama pasukan selepas membuat 178 penampilan di pentas antarabangsa sejak kemunculan pertamanya bersama skuad kebangsaan pada 2006.

“Saya ingin terus bermain tetapi mungkin akan sampai pada masanya apabila saya perlu menggantung but. Saya akan terus bermain, tetapi saya tidak tahu berapa lama lagi,” kata pemain tengah berusia 38 tahun itu.

Mengulas mengenai perlawanan, Modric jelas kecewa walaupun pasukan sudah memberikan yang terbaik.

“Sangat tertekan. Kami terus berjuang sehingga penamat tetapi malangnya, bola sepak tidak memihak kepada kami malam ini. Ia sangat kejam tetapi ia juga berlaku pada perlawanan terakhir (terikat 2-2 dengan Albania) yang mana kita juga dibolosi pada saat akhir.

“Namun itu adalah sebahagian daripada bola sepak. Ia sering memberikan kamu senyuman tetapi pada masa lain, ia menyedihkan kamu seperti hari ini, tewas biarpun kami sudah di hadapan.

“Sukar untuk menggambarkan perasaan apabila kamu kalah seperti ini. Sudah tentu kami perlu bangkit semula.

“Seperti saya katakan, mungkin ia tidak adil kerana kami sudah bermain sehabis baik demi Croatia dari awal sehinggalah wisel penamat dan keputusannya seperti itu.

sumber:-BH

“Keputusan tidak memihak kepada kami tetapi kami perlu berbangga dengan apa yang kami sudah lakukan untuk negara,” kata Modric. – REUTERS