PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski berbangga dengan pencalonan bintang sensasi bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi yang tersenarai sebagai Pemain Terbaik Tahunan AFC 2025.
Menurut Cklamovski, beliau dan juga seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dalam majlis Anugerah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2025 yang akan berlangsung di Pusat Kebudayaan King Fahd, Riyadh pada Khamis.
“Kami semua sangat bangga dengan Arif, seperti mana seluruh rakyat Malaysia juga. Dia telah berlepas lebih awal untuk menaiki penerbangan ke sana (selepas tamat perlawanan Kelayakan Piala Asia menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa).
“Kami berdoa agar segalanya berjalan lancar kerana dia memang layak untuk pengiktirafan itu. Saya pasti seluruh 34 juta rakyat Malaysia turut berbangga dengan persembahannya malam ini dan berharap dia akan memenangi anugerah yang sepatutnya milik dia,” katanya.
Pemain berusia 23 tahun itu menjadi wakil tunggal Malaysia yang tercalon dalam kategori berprestij Pemain Terbaik Tahunan AFC 2025, bersama dua lagi calon iaitu Akram Afif dari Qatar dan Salem Al Dawsari dari Arab Saudi.
Arif Aiman merupakan antara pemain tempatan terbaik dimiliki Malaysia ketika ini dengan aksi penuh keyakinan, kawalan bola yang kemas dan kelajuannya menjadikan dia nadi penting pasukan.
Sepanjang musim lalu, Arif Aiman menikmati kempen menakjubkan membantu JDT mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACLE), mempertahankan Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super selain membantu Harimau Malaya mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.
Malah, pemain lincah itu juga menjadi tunjang utama dalam sistem permainan jurulatih Cklamovski yang memberi kebebasan kepadanya untuk mencipta gerakan di bahagian sayap kiri pasukan.