KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) boleh dianggap beruntung apabila keputusan mengikat Chrigor Moraes menjadi percaturan berbaloi selepas mesin gol itu merampas kedudukan pendahulu carta penjaring terbanyak Liga Super musim ini.
Penyerang Brazil itu memperagakan ketajamannya apabila meledak empat gol ketika membantu SFC membenam DPMM FC 5-2 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah sekali gus menghimpun 16 gol setakat ini.
Pengaruh Moraes jelas begitu kuat apabila dia kini meledak separuh daripada jumlah 32 gol yang dihasilkan pasukan itu dalam 14 perlawanan Liga Super dan pemain itu akan terus menjadi nadi penting SFC pada musim ini.
Berdasarkan 16 gol dihasilkan itu, bekas penyerang Buriram United itu kini berkelebihan tiga gol mengatasi penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dengan 13 gol dan juga seorang lagi pemain JDT, Jairo da Silva dengan 12 gol.
Kedua-dua pemain itu buntu untuk menambah jaringan gol ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) yang menyaksikan mereka menang 1-0 hasil penyudah Manuel Hidalgo.
Penyerang Kuching City FC (KCFC), Ronald Ngah Wanja turut mencuri tumpuan dengan sembilan gol dan dia menjadi tonggak penting yang membantu KCFC untuk berada dalam tiga posisi teratas ketika ini.
Pemain KL City FC, Safawi Rasid muncul penjaring tempatan terbanyak dengan lapan gol diikuti penjaring terbanyak Piala FA yang juga penyerang Sabah FC, Adjin Mujagic dengan tujuh gol.
Pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi mungkin perlu menunggu untuk menambah koleksi jaringannya musim ini apabila meledak tujuh gol kerana terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.
Pemain Penang FC, Dylan Wenzel Halls turut meledak tujuh gol sementara penyerang Imigresen, Eduardo Sosa dan penyerang Penang FC, Tchetche Kipre masing-masing dengan enam gol.