sukan

Motika laung amaran awal kepada Gergasi Merah

Seremban: “Saya berharap dapat mengulanginya ketika menentang Selangor FC Ahad nanti kerana ia akan lebih bermakna dan menarik jika dapat membantu pasukan menterjemahkan kemenangan,” kata penyerang sensasi Negeri Sembilan FC (NSFC), Jovan Motika.

Pemain berasal dari Bosnia itu bertekad mengulangi aksi cemerlangnya seperti mana dipamerkan ketika menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) dalam aksi Liga Super dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC pada Piala FA selepas meledak empat gol masing-masing dua gol dalam setiap perlawanan berkenaan.

Menurut penyerang berusia 27 tahun itu, pertembungan dengan The Red Giants di laman sendiri menarik perhatian ramai kerana reputasi pasukan lawan itu yang dianggap jaguh Lembah Klang.

“Selepas bertemu JDT, kami ingin buktikan kemampuan untuk bersaing dengan sesiapa saja. Kami akan lakukan yang terbaik dengan Selangor dan berkeyakinan mampu melakukannya.

“Ini wajah baharu Negeri Sembilan dan kami mahu mencabar semua pasukan yang dalam Liga ini,” kata Motika hari ini.

Negeri Sembilan FC bakal melayani kunjungan Selangor FC pada aksi kedua Liga Super musim ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad ini.