sukan

Moto3: Hakim Danish tekad buru petak hadapan

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli enggan mengulangi keputusan hambar di Grand Prix (GP) Aragon apabila memburu penamat lebih kompetitif pada GP San Marino di Litar Misano, bermula esok.

Sebagai rekod, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 di Aragon untuk mengutip 90 mata keseluruhan selepas mengharungi 13 perlumbaan musim ini.

Menurut Hakim Danish, keputusan tersebut menjadi pembakar semangat untuk kembali menggegar kelompok hadapan walaupun sedar persaingan di Misano bukan mudah.

“Saya tidak sabar untuk memberikan yang terbaik di San Marino. Saya sudah kaji semula (kelemahan) perlumbaan di Aragon dan mengenal pasti beberapa perkara yang perlu diperbaiki.

“Saya mahu menyesuaikan diri dengan litar dan keadaan lebih cepat, terutama pada sesi awal perlumbaan.

“Pada masa sama, saya perlu mendapatkan keyakinan serta keserasian yang lebih baik dengan jentera (sepanjang hari perlumbaan nanti),” katanya.

Dengan baki sembilan perlumbaan pada musim ini, pelumba berusia 19 tahun dari Terengganu itu itu mengakui setiap mata amat berharga buat dalam misi memperbaiki kedudukan keseluruhan.

“Perkara utama adalah untuk terus mengutip mata sebanyak mungkin dalam setiap perlumbaan.

“Saya mahu lebih konsisten, mengurangkan kesilapan dan cuba berada dalam kelompok hadapan supaya dapat membawa pulang mata penting dari San Marino,” katanya.