sukan

Muka baharu barisan Harimau Malaya hadapi Kemboja

KUALA LUMPUR: Saingan Piala ASEAN 2024 bakal menyaksikan beberapa gandingan baharu akan dibentuk dalam skuad Harimau Malaya bermula aksi pertama Kumpulan A menentang Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh jam 6.45 petang hari ini.

Ia berikutan ketiadaan beberapa pemain bintang dalam pasukan kali ini dengan pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente terpaksa membentuk skuad campuran pemain senior dan junior.

Berdasarkan senarai pemain yang dipanggil Vicente, bahagian sayap bakal mengalami perubahan paling besar susulan ketiadaan pemain ‘biasa’ seperti Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.
ADVERTISEMENT
Drone View VideoDrone View Video

Terdapat kemungkinan besar Vicente akan menggunakan Haqimi Azim Rosli di bahagian kanan dan Fazrul Amir Md Zaman di sebelah kiri sebagai pilihan utama dengan dua pemain itu sudah diuji dalam aksi persahabatan sebelum ini.

Bahagian pertahanan juga dijangka mengalami perubahan susulan ketiadaan dua ‘kereta kebal’ iaitu kapten, Dion Cools dan tonggak pertahanan kanan, Matthew Davies.

Pemain yang baru dipanggil, Harith Haiqal Adam Afkar dilihat antara calon berpotensi bakal digandingkan bersama Dominic Tan di bahagian pertahanan tengah selain Ahmad Khuzaimi Piee.

Bahagian kiri hampir pasti diisi pemain berpengalaman, Daniel Ting manakala Jimmy Raymond berpeluang cerah mengisi tempat Davies.

Vicente dilihat tidak berdepan masalah untuk mencatur bahagian tengah yang dianggap enjin bagi Harimau Malaya dengan pengendali dari Sepanyol itu memiliki pemain yang sudah biasa termasuk kapten, Syamer Kutty Abba, Stuart Wilkin dan Endrick Dos Santos.

Namun, mungkin ramai yang menyaksikan penampilan Danial Amier Norhisham serta pemain muda berpotensi yang beraksi bersama FC Osaka, Muhammad Abu Khalil.

Sementara itu, Darren Lok, Syafiq Ahmad dan Paulo Josue yang dianggap pemain senior dalam skuad Harimau Malaya dijangka terus menjadi antara pilihan utama Vicente untuk bahagian serangan.

Posisi penjaga gol dilihat menjadi rebutan antara Haziq Nadzli dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi berdasarkan pengalaman mereka bersama skuad kebangsaan.

Haziq bagaimanapun memiliki kelebihan selepas dia dilihat menjadi penjaga gol utama bersama Perak dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) berbanding Kalamullah yang banyak memanaskan bangku simpanan Selangor.

Piala ASEAN 2024
Kumpulan A

Hari Ini
Kemboja mln Malaysia, 6.45 ptg
Timor Leste mln Thailand, 9 mlm

Ranking
Malaysia: 132
Kemboja: 180

Rekod pertemuan

Ogos 1999 – Kemboja 2 Malaysia 7
November 2000 – Malaysia 3 Kemboja 2
Disember 2002 – Malaysia 5 Kemboja 0
Jun 2007 – Malaysia 6 Kemboja 0
September 2014 – Malaysia 4 Kemboja 1
November 2016 – Malaysia 3 Kemboja 2
September 2018 – Kemboja 1 Malaysia 3
November 2018 – Kemboja 0 Malaysia 1
Disember 2021 – Kemboja 1 Malaysia 3
Disember 2022 – Malaysia 4 Kemboja 0

sumber:- BH