JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui masih terasa kehilangan tonggak sensasi, Arif Aiman Hanapi namun mereka tetap bertekad mengekalkan rentak kemenangan ketika berdepan Svay Rieng pada aksi Kejuaraan Kelab ASEAN di Phnom Penh, malam esok.
Bagi pengendali JDT, Xisco Munoz ketiadaan Arif Aiman memberi kesan besar kepada dinamik serangan pasukan, namun beliau mahu pemainnya menyesuaikan diri ketika berdepan cabaran skuad kendalian Mattew McConkey, yang belum pernah ditemui dalam sebarang kejohanan setakat ini.
“Dengan mengekalkan intensiti permainan dan personaliti pemain JDT yang sentiasa berada di tahap positif, kami akan turun dengan misi kemenangan namun tetap berhati-hati dengan helah taktikal lawan yang boleh memerangkap JDT.
“Kami akan mengekalkan gaya permainan tetapi meningkatkan kualiti dengan memperkemaskan situasi bola mati kerana ia penyelesaian terbaik bagi memastikan rentak permainan tidak terjejas,” katanya.
Munoz turut mengakui jadual padat – termasuk aksi liga tempatan sebelum terbang ke Kemboja – bukan penghalang untuk memastikan persembahan konsisten.
“Kami hanya berehat sehari, tetapi komitmen pemain sangat tinggi. Itu yang membezakan JDT,” katanya.
Harimau Selatan kini mendahului Kumpulan B kejohanan merebut Piala Shopee itu dengan enam mata hasil dua kemenangan, manakala Svay Rieng di tangga ketiga dengan tiga mata selepas melakar rekod 1-0-1.
Munoz juga mengesahkan arkitek tengah, Ager Aketxe masih belum pulih sepenuhnya, situasi yang membuatkan pasukan semakin merasai ketiadaan Arif Aiman.
“Ager menjalani proses pemulihan mengikut jadual oleh fisioterapi dan kami berharap dia kembali segera… tetapi kehilangan Arif masih dirasai, itu hakikatnya,” jelasnya.
Arif Aiman sudah menjalani rawatan susulan kecederaan ketika mewakili Harimau Malaya menentang Nepal pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 18 November lalu.