sukan

Munoz akui keadaan padang di Stadium Negeri menyukarkan anak buahnya

KUCHING: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, mengakui perlawanan menentang Kuching City FC bukan tugas mudah, namun tetap berpuas hati selepas pasukannya berjaya meraih tiga mata berharga di tempat lawan.

Menurutnya, Kuching City tampil dengan corak permainan agresif, intensiti tinggi serta kelebihan melakukan transisi pantas yang menyukarkan skuad Harimau Selatan mengekalkan rentak permainan biasa mereka.

“Ia satu perlawanan yang sukar, lebih-lebih lagi kami bermain di tempat lawan. Kami sudah tahu dari awal, bila bermain di sini memang sentiasa sukar,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam ini.

Munoz turut menegaskan JDT sepatutnya memanfaatkan peluang terbaik di babak pertama untuk menamatkan perlawanan lebih awal.

“Apabila kami mendapat peluang penting di babak pertama, kami sepatutnya menamatkan perlawanan. Bila tidak, perlawanan kekal terbuka dan situasi boleh berubah,” jelasnya.

Beliau turut mengakui keadaan padang di Stadium Negeri menyukarkan anak buahnya menguasai tempo permainan melalui hantaran pendek yang menjadi identiti pasukan.

“Sukar bermain bola sepak hari ini kerana keadaan padang agak menyusahkan kami.

“Tetapi kami perlu faham, inilah situasi yang kami hadapi. Apa yang penting, kami berjaya bawa pulang tiga mata,” katanya lagi.

Sementara itu pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak memuji semangat juang anak buahnya yang mempamerkan aksi bertenaga meskipun bermain dengan sepuluh pemain.

“Jika kami kekal dengan 11 pemain, saya percaya anak-anak buah saya mampu terus bermain dengan baik.

“Bermain menentang JDT dengan 11 pemain pun sudah cukup sukar, apatah lagi dengan sepuluh pemain, ia lebih mencabar, tetapi saya hormati dan tabik kepada para pemain, kerana walaupun dengan sepuluh orang, mereka tetap memberikan segalanya,” katanya pada sidang media sama.

Menurut Aidil, pada babak pertama Kuching City dilihat berjaya mendominasi namun situasi sepakan percuma dan kad merah telah mengubah corak permainan.