sukan

Munoz akui ketiadaan Arif Aiman memberi kesan kepada pasukan

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menegaskan barisan pemainnya berdepan kesukaran untuk menewaskan Kuching City FC sebelum menempah tiket la ke pentas final Piala FA apabila menang 2-0 sekali gus layak dengan agregat 4-1 dalam aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Menurut Munoz, corak permainan bertahan yang dipratikkan skuad kendalian Aidll Sharin Sahak menyukarkan barisan serangan JDT melakukan percubaan yang mampu menjelmakan jaringan tapi keberkesanan `set-piece’ yang dirancang membolehkan kemenangan dapat diraih.

“Walaupun menguasai permainan namun apabila pemain lawan mempamerkan permainan dengan formasi 5-4-1 agak sukar untuk barisan serangan mencipta jaringan tatkala berada di kawasan mereka dan jika memiliki banyak peluang maka kita harus menjaringkan gol tapi pengawasan pemain lawan terhadap pemain JDT cukup ketat.

“Ditambah pula dengan kecemerlangan penjaga gol Kuching City FC (Haziq Nadzli) yang menghalang beberapa percubaan kami dan ternyata kelibatnya menjadi penghalang utama untuk kami menambah jaringan tapi kemenangan 2-0 sudah memadai untuk layak ke final.

“Di JDT setiap kejuaraan yang kami harungi, misi utama adalah layak ke final dan pemain membuktikan mereka begitu dahagakan piala berkenaan malah hasil kerja keras setiap pemain yang menjalani latihan tidak kira di sesi pagi dan malam amat berbaloi,” katanya.

Dalam perlawanan itu, dua gol yang dihasilkan Bergson da Silva pada minit ke-25 dan Eddy Israfilov pada minit ke-82 sudah cukup memberi kemenangan buat Harimau Selatan untuk layak ke final dengan agregat 4-1 dan akan berdepan Sabah FC yang mengatasi Selangor FC 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 3-3 dalam tempoh 90 minit permainan.

Mengenai tindakannya mengeluarkan Bergson pada pertengahan babak kedua, pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, langkah itu bagi memastikan penyerang prolifik JDT itu tidak berdepan kecederaan yang lebih teruk selepas dia mengadu kepenatan akibat mengharungi jadual perlawanan yang padat.

“Saya tidak mahu ambil risiko untuk membiarkan Bergson terus beraksi sehingga tamat perlawanan walaupun ada 20 minit lagi permainan malah dia diperlukan apabila kami akan ke Kemboja untuk aksi Kejuaraan Kelab ASEAN pada Khamis ini,” katanya.

Ditanya mengenai Arif Aiman Hanapi, Munoz mengakui ketiadaan pemain itu amat dirasai dan perancangan membentuk kesebelasan utama perlu dibuat dengan lebih terperinci bagi memastikan posisi sayap kanan berfungsi dengan konsisten dalam setiap aksi yang diharungi.