ISKANDAR PUTERI: Pengendali JDT, Xisco Munoz menuntut kesebelasan utama yang bakal diturunkan berdepan Shanghai Port FC dalam aksi dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok mempamerkan karakter yang positif bagi memburu kemenangan.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, aksi menentang kelab dari China itu penting apabila ia ibarat misi hidup dan mati buat Harimau Selatan dan akan turun habis-habisan bagi memastikan kualiti dan intensiti permainan berada di tahap terbaik.
“Malam esok, aksi minit pertama sebaik perlawanan bermula, kami harus tampil dengan karakter dan lebih bertenaga dengan intensiti yang tinggi malah kami perlu membuktikan betapa JDT bukanlah pasukan mudah ditewaskan.
“Ia perlawanan penting buat kami dan kami memperinci apa jua kelemahan bagi memastikan tidak berlaku kesilapan dilakukan pemain kerana jika tidak mengambil berat mengenai kelemahan atau kesilapan ia boleh mengubah permainan sekelip mata.
“Agak menyedihkan kerana kami masih lagi tidak dapat menggunakan khidmat Arif (Aiman Hanapi) yang belum pulih sepenuhnya dan kami akan berusaha memberi `hadiah’ kepadanya iaitu tiga mata yang bakal mengubat kedukaannya yang saya tahu dia amat sedih tidak dapat membantu pasukan dalam aksi malam esok,” katanya.
Munoz juga mengesahkan Bergson da Silva yang tidak diturunkan ketika menentang PKR Svay Rieng FC dalam kejuaraan kelab ASEAN, 4 Disember lalu bakal diturunkan selepas direhatkan dan pasti penyerang prolifik JDT akan membukti keupayaan untuk mencetus kemenangan buat skuad Harimau Selatan.
Beliau juga berharap arkitek tengah JDT, Ager Aketxe akan turun menjalani latihan selepas mengalami kecederaan dalam tempoh agak lama dan bersedia beraksi dalam kesebelasan utama namun semuanya bergantung kepada latihan rasmi malam ini.
“Ager akan menjalani ujian rawatan sama ada dia bersedia beraksi malah akan turun menjalani latihan menjelang aksi menentang Shanghai Port FC dan kami akan lihat progres dan pegawai fisioterapi bekerja keras bukan sahaja buat dirinya malah membabit semua pemain untuk bersedia beraksi dalam perlawanan kompetitif,” kata Munoz.