sukan

Munoz kecewa benteng JDT bocor saat akhir

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz menegaskan kemenangan 3-1 ke atas Lion City Sailors FC amat penting sekali gus mampu meningkatkan keyakinan pemain bagi mengharungi saingan Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Jelas pengendali kelahiran Sepanyol, barisan pemainnya menguasai permainan dan mengawal situasi tanpa memberi ruang buat skuad kendalian Aleksandar Rankovic mendominasi permainan terutama di kawasan tengah.

“Kami bejaya merungkai jaringan di awal babak pertama dan kerap mencipta peluang menjaringkan gol dan ingin saya katakan agak sukar untuk mendominasi permainan sepanjang 95 minit perlawanan seperti apa kami lakukan pada 45 minit babak pertama.

“Apapun saya tidak pasti sama ada anda setuju atau tidak kerana penguasaan dan peluang mencipta jaringan berpihak kepada JDT manakala pasukan lawan hanya berkumpul di kawasan sendiri dan jarang melancarkan serangan ke benteng kami.

“Hanya pada babak kedua, kami memperlahankan tempo tetapi masih mendominasi permainan dengan beraksi secara kompak dan melakukan transisi gerakan yang tersusun.

Mengulas mengenai keupayaan Lion City Sailor FC berjaya menghasilkan gol pada masa kecederaan, Munoz tampak kurang senang dengan barisan benteng JDT yang akhirnya bolos pada penghujung perlawanan.

“Ia kesilapan benteng tidak sepatutnya berlaku dan saya tidak pasti pemain lawan melakukan kesalahan atau tidak ketika dalam situasi perebutan bola dan ada ketika gol tidak dijangka akan berlaku.

“Ia proses pengajaran bagi kami dan akan memantapkan lagi konsentrasi di barisan pertahanan bagi mengelak senario itu berulang dan kami tahu ia bukanlah baik untuk JDT jika memberi ruang kepada pasukan lawan menjaringkan gol,” katanya.