sukan

Munoz mahu rekod tanpa kalah terus dikekalkan

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mahu rekod tanpa kalah terus dikekalkan apabila mereka turun melayan Kuching City FC (KCFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Menurutnya, pengalaman ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) minggu lalu yang menyaksikan mereka terpaksa menanti hingga masa tambahan untuk melakar kemenangan harus menjadi iktibar apabila berdepan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.

Katanya, rekod pertemuan jelas membuktikan cabaran The Cats tidak boleh dipandang mudah apabila Harimau Selatan sekadar menang tipis 1-0 pada aksi liga 24 Ogos lalu disusuli perlawanan separuh akhir Piala FA selepas menang dengan agregat 4-1 pada November lalu.

“Ini menunjukkan prestasi Kuching City sudah meningkat, jadi kami tidak boleh bersikap sambil lewa dan perlu fokus sepanjang perlawanan.

“Pasukan lawan juga sedang memperkemaskan barisan pemain menerusi jendela perpindahan kedua baru-baru ini, jadi kami harus bersedia dan mengekalkan momentum dengan corak permainan berintensiti tinggi.

“Setiap peluang yang ada, pemain saya harus menggunakan sebaik mungkin tanpa mensia-siakannya,” katanya.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu juga berharap kesebelasan yang diturunkan beraksi dengan lebih tenang dan tidak memberi ruang buat pemain lawan bergerak bebas.

“Mereka akan cuba memberi saingan, jadi setiap pemain perlu memainkan peranan dan bertindak mengikut pendekatan taktikal yang dirancang dan apa yang penting menggerakkan bola dengan pantas,” ujar Munoz.