PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz enggan mengulas lanjut berhubung penggantungan tiga pemain warisan Harimau Malaya daripada Persekutuan Bola Sepak Antaranbangsa (FIFA), menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) berdepan kelab Jepun, Machida Zelvia FC di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada Selasa.
Sebaliknya, beliau mahu membariskan kesebelasan terbaik bagi mempamerkan aksi maksimum dan seterusnya memastikan skuad Harimau Selatan itu meraih mata pada aksi berkenaan.
“Perkara paling penting ketika ini adalah kesemua pemain perlu memberikan fokus kepada pasukan sendiri dan tidak terlalu memikirkan mengenai pasukan/kelab yang bakal ditentang.
“Kita juga akan turunkan kesebelasan utama kali ini kerana menganggap perlawanan tersebut penting buat kita semua.
“Justeru, saya menjangkakan perlawanan yang sengit berdepan Machida Zelvia FC ini dan mahu kesemua pemain bersedia untuk beraksi,” katanya.
Tambah Munoz, kesemua pemain diharap dapat mengekalkan fokus pada aksi berdepan skuad Zelvia itu dan tidak terbawa-bawa dengan kemenangan lalu.
Katanya, perlawanan berdepan skuad Zelvia itu merupakan aksi baharu serta berbeza dan memerlukan setiap pemain untuk bersedia secukupnya mengharungi perlawanan tersebut.
“Seperti yang pernah saya katakan, perlawanan ini penting buat kita dan dalam masa sama ia juga agak sukar diharungi.
“Tetapi, kami semua tetap positif dan akan cuba memberikan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri,” katanya.
Sementara itu tonggak pertahanan, Shane Lowry berkata, sesi latihan menjelang perlawanan berkenaan berjalan lancar dan memberikan gambaran skuad Harimau Selatan itu benar-benar telah bersedia bagi mengharungi aksi berkenaan.
“Saya tahu lawan kami bukannya calang-calang pasukan dan perlawanan kali ini agak sukar buat kami.
“Namun, saya percaya kesemua pemain yang diturunkan nanti bakal memberikan aksi terbaik bagi perlawanan ini,” katanya.