Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menafikan prestasi Jairo da Silva kurang menyengat apabila beraksi dalam perlawanan Liga Super.
Jelas pengendali kelahiran Sepanyol itu, Jairo menampilkan kualiti baik selaku penyerang dan ada ketika peluang yang ada untuk menjaringkan gol tidak menjadi dan ia berlaku kepada penyerang bertaraf dunia.
“Ini akan berlaku kepada mana-mana penyerang tapi apa penting bagi saya, Jairo sentiasa berkerja keras untuk menjaringkan gol dan memberi tekanan terhadap benteng lawan selain membuka ruang buat rakan sepasukan menjaringkan gol.
“Saya tahu kebanyakan peminat memberi fokus terhadap Jairo dan kurang berpuas hati dengan gaya permainan yang ditampilkan.
“Nasihat saya usah beri tekanan kepadanya, dia tahu tugasnya selaku penyerang dan sentiasa memberi yang terbaik dalam setiap perlawanan apabila beraksi dalam kesebelasan utama.
“Kalau dia tidak bagus, bagaimana dia boleh jaringkan 12 gol sepanjang beraksi dalam saingan liga malah menyamai jaringan yang dilakukan Bergson (da Silva),” katanya.
Mengulas mengenai persembahan Ager Aketxe yang kembali beraksi selepas lama diketepikan akibat kecederaan, Munoz jelas berpuas hati dengan persembahan `arkitek’ tengah itu yang menunjukkan aksi konsisten ketika menentang Kelantan TRW.
Munoz juga berpuas hati dengan penampilan Syahmi Safari yang mula menunjukkan peningkatan apabila beraksi dalam perlawanan kompetitif selepas pulih daripada kecederaan.