sukan

Nacho Mendez pemain warisan baharu Harimau Malaya?

Kuala Lumpur: Belum pun reda kejutan kemenangan besar Harimau Malaya ke atas Vietnam bulan lalu, timbul pula desas-desus kehadiran pemain warisan baharu menjelang Piala Negara-Negara CAFA 2025 yang bakal berlangsung Ogos ini.

Kali ini, nama pemain tengah kelab Sepanyol, Sporting Gijon iaitu Nacho Mendez menjadi tumpuan selepas beberapa laporan tidak rasmi mendakwa pemain itu dalam proses akhir mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Mendez, 27, yang beraksi dalam Segunda Division, dilaporkan mempunyai pertalian warisan dengan Malaysia, sekali gus membuka laluan buat dia menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya semua dokumentasi dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Sekiranya sah, kehadiran Mendez dijangka menjadi satu lagi senjata ampuh buat pasukan kebangsaan yang bakal mengharungi cabaran getir di kejohanan CAFA 2025, terutama apabila bakal berdepan pasukan seperti Iran yang kini berada di kedudukan ke-18 dunia.

Pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Bukit Jalil, skuad kendalian Peter Cklamovski membariskan lima pemain warisan baharu membabitkan Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado sekali gus mencipta sejarah apabila membenam Vietnam 4-0.

Kemenangan itu menamatkan kemarau 11 tahun ke atas Naga Emas dan menjadi bukti bahawa pendekatan membawa masuk pemain warisan mampu memberi impak segera kepada skuad negara.

Kini, tumpuan beralih kepada Piala Negara-Negara CAFA 2025, dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Iran, Tajikistan (ranking 104 dunia) dan Afghanistan (ranking 160), dalam kejohanan yang akan berlangsung dari 29 Ogos hingga 8 September ini.

Malaysia yang kini menduduki ranking ke-131 dunia dijadual membuka kempen menentang Tajikistan pada 29 Ogos, diikuti aksi getir menentang Iran pada 1 September, sebelum menutup saingan kumpulan bertemu Afghanistan pada 4 September.

Hanya juara kumpulan layak ke pentas final, menjadikan saingan kali ini cukup penting sebagai medan pemanas badan sebelum Malaysia mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 bermula November ini.

sumber:- HM

Sementara itu, Kumpulan A menyaksikan Uzbekistan (ranking 66), Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Oman bakal merebut satu lagi slot ke final, dengan Uzbekistan dianggap pilihan utama selepas mengesahkan slot ke Piala Dunia 2026.