KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain mengakui kecewa dengan kekalahan pada minit akhir kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia B-23 2026, malam tadi.
Kekalahan 1-2 kepada tuan rumah di Stadium Thammasat itu menyaksikan skuad negara gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia di Arab Saudi tahun depan apabila menghuni tangga ketiga Kumpulan F.
Meskipun kecewa, Nafuzi bagaimanapun tetap berpuas hati dan bangga dengan persembahan barisan pemainnya yang memberi tentangan sengit kepada Thailand dalam perlawanan itu.
Pengendali berusia 47 tahun itu menjelaskan, kegagalan menyudahkan peluang dan kesilapan pada saat akhir menyebabkan skuadnya dihukum dengan jaringan lewat pasukan lawan.
“Saya berpuas hati dengan persembahan pemain. Kedua-dua pasukan bermain bola sepak yang baik dan bukan senang untuk bermain di atas padang selepas hujan lebat. Saya fikir kedua-dua pasukan tidak dapat menunjukkan persembahan sebenar dan lebih bermain dengan hantaran terus.
“Bukan mudah untuk berdepan pasukan Thailand yang memiliki pemain berkualiti, namun kami memberikan tentangan yang baik dan mencipta beberapa peluang untuk menang.
“Tetapi pada penghujungnya kami melakukan kesilapan yang membolehkan lawan mendapat jaringan dan sebab itu kami tewas di minit akhir. Untuk keputusan saya kecewa, tapi komitmen yang pemain tunjukkan saya amat bangga,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan skuad Nafuzi menutup kempen kelayakan dengan mengumpul tiga mata hasil kemenangan 7-0 ke atas Mongolia selain selepas tewas 0-1 pada aksi pertama kepada Lubnan.
Sebagai rekod, skuad B-23 negara berjaya layak dalam tiga edisi Piala Asia B-23 iaitu pada edisi 2018, 2022 dan 2024 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke suku akhir edisi 2018.
Selain itu, Nafuzi berterima kasih kepada seluruh penyokong yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan selain mengakui anak buahnya perlu belajar bagaimana untuk mengelak daripada melakukan kesilapan sama pada kejohanan akan datang.
“Kami semua amat kecewa pasukan tidak layak ke Piala Asia tapi saya fikir pemain sudah memberikan segala-galanya. Kami perlu bekerja keras bagi masa akan datang dan belajar bagaimana untuk mengelak daripada melakukan kesilapan yang berlaku di sini,” katanya.