KOTA KINABALU: Kelekaan dan kesilapan pemain antara punca Kedah Darul Aman (KDA) FC dibelasah Sabah FC 2-5 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.
Aspek itu diakui ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain, berdasarkan beberapa situasi, khususnya pada awal dan akhir permainan yang menyaksikan Sabah mendapat gol mudah.
Katanya, kesilapan pertama pemain berlaku apabila Sabah mendapat sepakan penalti pada minit awal permainan, sebelum mereka bangkit, namun kualiti pemain tuan rumah menggagalkan usaha anak buahnya.
“Kalau kita nampak dari segi permainan, sedikit kelekaan pada awal permainan dan kita memberi kelebihan kepada Sabah.
“Selepas itu mungkin pemain sedar dan mula mempamerkan satu persembahan yang tersusun, baik dan dapat mencipta beberapa peluang, namun, kita tahu Sabah mempunyai kualiti dari segi kekuatan dan kelajuan, di situ kita tewas.
“Kesilapan juga berlaku apabila pasukan lawan menyerang balas selepas kita mengawal permainan dengan baik, di situlah kita memberikan gol yang agak mudah,” katanya selepas perlawanan malam tadi.
Pada aksi di Stadium Likas malam tadi, Kedah ketinggalan bermula seawal minit kedua hasil jaringan sepakan penalti Sabah sebelum dapat menyamakan kedudukan pada masa tambahan separuh masa pertama.
Sabah sekali lagi mendahului 2-1 melalui gol kedua pada awal babak kedua, sebelum dapat disamakan Kedah pada minit ke-62, namun Sabah kemudian menambah tiga lagi gol.
Nafuzi bagaimanapun tetap memuji kemampuan anak buahnya dapat mencipta dua gol di Likas yang disifatkannya bukan sesuatu yang mudah.
sumber:-BH
“Terima kasih untuk semua pemain, ia satu perlawanan yang betul-betul tinggi dan persembahan yang bagi saya tidak boleh nak merungut,” katanya.